Nikah tahun depan, Stacy belum tetap tarikh


AKIM dan Stacy selamat melangsungkan pertunangan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Taman Melawati, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Sirih bertepuk, pinang pun menari, semuanya saling merestui dua jiwa yang sudah memaut janji untuk saling memiliki.

Teka-teki perjanjian hati Stacy dan Akim kini sudah terang lagi bersuluh. Cincin sudah di jari, tinggal lagi saat dihitung untuk sama-sama bergelar raja sehari.

Biarpun mengadakan majlis pertunangan secara tertutup di sebuah banglo di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 26 September lalu, Akim dan Stacy tidak boleh terus mengunci mulut kepada media tentang perancangan perkahwinan mereka.

Akim sudah mengakui, bahawa mereka akan berkahwin dalam tempoh setahun selepas bertunang. Mengikut perkiraan umum, jika tiada aral melintang, pernikahan mereka dijangka berlangsung sekitar akhir tahun depan.

“Saya tidak boleh cakap lebih sebab perkara kahwin belum difikirkan buat masa sekarang. Ia masih belum dibincangkan oleh kedua-dua pihak dan sampai masanya nanti kami akan beritahu kepada semua,” kata Stacy yang belum boleh memberikan jawapan konkrit saat dihubungi Kosmo!

Dari satu sudut yang lain, sejak pengislaman Stacy pada 24 Ogos lalu juga, spekulasi bahawa pasangan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia itu akan berkahwin dalam masa terdekat sudah bertiup tanpa henti.

Stacy mahupun Akim, mereka sedia maklum perkara itu. Bukan sekali, bahkan berkali-kali persoalan media tentang agenda pertunangan perkahwinan disangkal dengan pelbagai alasan.

Dua kali menggemparkan dunia hiburan tentang pengislamannya dan majlis pertunangan, ternyata Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 25, punya hati yang cukup kuat untuk berdepan fasa baharu dalam hidupnya.

Ikuti penjelasan daripada penyanyi lagu Not For Sale itu tentang majlis pertunangan rahsianya baru-baru ini.


Artis Meletop!: Tahniah atas pertunangan Stacy dan Akim. Boleh ceritakan sedikit mengenai majlis tersebut.

STACY: Kami hanya bertunang dalam sebuah majlis yang membabitkan ahli keluarga terdekat dan dilakukan secara sederhana, sebab itu kami tidak menghebahkannya kepada umum.

Tidak menghebahkan kepada umum itu apa maksudnya?

Kami bukannya sengaja mahu berahsia, sebaliknya saya tidak mahu terlalu terbuka berkongsi soal peribadi dengan khalayak. Lagipun, majlis pertunangan kami diputuskan dua minggu sebelum ia dilangsungkan.

Itu pun atas permintaan keluarga yang mahukan perkara baik seperti ini disegerakan. Saya tahu, keluarga mahukan yang terbaik untuk kami sebab mungkin selepas ini, lebih banyak dugaan yang tidak dijangka akan berlaku.

Jadi, keputusan bertunang ini dibuat demi kebaikan kedua-dua belah pihak agar terhindar daripada perkara atau fitnah yang tidak elok.

Pertunangan kalian berlangsung sebulan selepas anda memeluk Islam, perkara itu menguatkan spekulasi bahawa anda memeluk Islam kerana ingin mengahwini Akim. Komen?

Kalau saya masuk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan Akim, kenapa saya tukar agama lebih awal? Kalau ada pihak pertikaikan saya masuk Islam kerana Akim, baik saya lakukan perkara itu seminggu atau sebulan sebelum kahwin. Itu baru betul saya masuk Islam kerana mahu berkahwin.

Untuk apa saya ambil risiko masuk Islam awal-awal sedangkan tiada jaminan yang Akim merupakan jodoh sebenar saya. Logik bukan?

Saya tidak kisah orang mahu berkata apa pun mengenai hal itu, yang penting niat saya hanya Allah dan keluarga yang tahu baik buruknya.

Mungkin ia nampak seperti mengiakan dakwaan itu apatah lagi kini saya sudah bergelar tunangan Akim. Apa yang boleh saya katakan, ini semua di luar kawalan kami, dipendekkan kata, jodoh saya mengikat pertunangan dengan Akim telah tiba.

Kalian mengambil keputusan bertunang ketika karier masing-masing sedang memuncak naik. Komen mengenai hal itu?

Tentang karier pula, rezeki semua manusia terletak pada tangan Tuhan. Apa yang kami lakukan ini merupakan perkara baik dan ia sangat digalakkan dalam Islam untuk mengelakkan perkara-perkara tidak diingini pada kemudian hari.

Saya berkahwin atau tidak, ia bukan punca utama kepada turun naik populariti dalam dunia seni.

Saya tidak mahu hidup bersandarkan populariti selama hayat dikandung badan, tetapi saya inginkan kesempurnaan terutamanya dalam hidup dan agama, Insya-Allah. Saya yakin dengan perancangan Tuhan kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Untuk majlis perkahwinan nanti, adakah kalian memilih untuk berahsia juga?

Andai sampai jodoh untuk berkahwin nanti, kami tidak mahu terlalu terbuka mahupun terlalu berahsia kepada umum.

Untuk menjawab soalan itu, saya juga tidak boleh cakap lebih-lebih sebab perbincangan tentang perkahwinan belum difikirkan buat masa sekarang. Apabila tiba waktunya nanti, kami akan beritahu kepada umum.

Bagaimana pula dengan perkembangan terkini karier anda?

Sekarang saya sedang sibuk mempromosikan lagu baharu berjudul Berteman Sepi duet dengan kumpulan Ungu. Ini merupakan peluang terbaik dan pengalaman berharga kerana sudah dua kali diberi kesempatan bekerjasama dengan kumpulan dari luar negara.

Dua tahun lepas saya pernah berduet dengan kumpulan SMASH menerusi lagu Hello.

Previous Post Next Post