SKEPTIKAL awal penulis terhadap konsert Yuna Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini hanya berlingkar pada paksi seorang pelantun suara yang menampilkan sebuah persembahan muzik berskala besar.
Benar, Yuna atau nama lengkapnya, Yunalis Mat Zara’ai memulakan karier sebagai seorang penghibur indie di tanah tempat tumpah darahnya, Malaysia dengan hanya menggunakan laman sosial Myspace sebagai platform hebahan. Begitupun, empayar muzik garapannya itu tidak bernoktah di satu tempat yang sama.
Sekitar tahun 2011, selepas mencipta nama di Malaysia dan menerima beberapa pengiktirafan di majlis anugerah tempatan, Yuna mengambil keputusan untuk berkelana dan berkarya di Amerika Syarikat (AS).
Di sana, Yuna telah dilamar untuk bernaung di bawah label muzik antarabangsa, Verve Records dan menerbitkan tiga buah album studio berbahasa Inggeris, Decorate EP (2011), Yuna (2012) dan Nocturnal (2013).
Melihat pada pencapaian dan portfolio seninya di dalam dan luar negara, tidak hairan jika sambutan yang diberikan peminat terhadap kepulangan Yuna bagi menjayakan siri konsert jelajahnya di Asia malam tersebut persis seorang penghibur bertaraf antarabangsa.
Saat kelibat Yuna tampil ke tengah pentas selepas Noh Salleh selesai menyanyikan tiga buah lagu pembukaan, sorakan dan tepukan gemuruh penonton bergema memecah ruang udara dewan Plenary.
Menggamit memori penonton yang hadir, Yuna membuka tirai konsert dengan mengalunkan single debutnya, Dan Sebenarnya. Karya yang memperkenalkannya kepada industri muzik arus perdana selain melayakkan Yuna menggenggam trofi Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-17 itu dilantunkan perlahan, sesuai dengan mood persembahan yang perlahan dan tenang.
“Saya berasa sungguh teruja menyanyi lagu ciptaan sendiri untuk anda pada malam ini.
“Semoga anda juga telah bersedia untuk melekat bersama saya selama 1 jam 30 minit,” tutur Yuna.
Menggayakan busana rekaan Hatta Dolmat, Yuna yang tampil minimalis meneruskan persembahan dengan lagu berentak rancak berjudul Falling.
Cinta
Sebelum menyanyikan lagu Mountains, Yuna menyatakan gelora hatinya sewaktu menulis lagu yang dipetik daripada album Nocturnal itu.
“Banyak yang saya belajar tentang cinta dan perkara yang selalu kita buat adalah menunggu orang yang kita sayang untuk berubah.
“Bagi saya, apa yang perlu kita lakukan adalah menerima pasangan kita seadanya,” ujar Yuna,
Sejak bergelar penghibur, kisah cinta wanita kelahiran Alor Setar, Kedah itu tidak pernah lenyap diperkatakan oleh khalayak.
Bermula dengan kisah hubungan cinta yang tidak kesampaian bersama pelakon dan pengacara, Qi Razali sekitar tiga tahun lalu, ‘percintaan’ Yuna dengan jurugambar dan model kelahiran AS, Julian Schratter turut berakhir di tengah jalan.
Tidak tergesa-gesa mencari pasangan hidup, Yuna secara terbuka meminta peminatnya mendoakan agar jodohnya cepat bertandang.
“Doakan Yuna cepat kahwin,” ujarnya dengan nada ceria sebelum menyanyikan lagu Lautan, sebuah karya yang ditulis khas untuk filem Lagenda Budak Setan 3.
Album baharu
Yuna dan penulisan lagu tidak dapat dipisahkan. Setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya sering dijadikan inspirasi lalu dijilidkan sebagai satu naskhah yang dapat dikongsi bersama dengan peminat.
Perkara tersebut dapat dilihat menerusi beberapa rangkaian lagunya seperti Penakut, Material dan Rescue.
Bercakap mengenai album studio antarabangsa ketiganya yang bakal menemui peminat sekitar penghujung Februari tahun depan, Yuna berbicara kepada agensi berita Bernama, banyak pembaharuan dari segi muzik bakal diperdengarkan oleh peminat.
Menurutnya, album tersebut turut menampilkan irama yang lebih segar sesuai dengan peredaran dan evolusi muzik dunia.
“Walaupun terdapat banyak perubahan antaranya dari segi irama lagu, saya yakin mereka yang mendengar lagu-lagu tersebut akan tahu itu adalah Yuna,” katanya yang masih enggan mendedahkan tajuk dan jumlah lagu yang terkandung dalam album tersebut walaupun sudah hampir 90 peratus selesai dirakam.
Melanjutkan bicara mengenai projek sampingan terbaharu buat para peminatnya di Malaysia, Yuna berkata, dia kini masih dalam perancangan untuk menghasilkan karya yang lebih berunsurkan humor dan mengusik.
“Dari segi budaya dan penerimaan muzik di sini, rakyat Malaysia lebih gemar dengan lagu yang dekat dengan kehidupan mereka,” kongsinya.
Pada malam itu, Yuna turut mempersembahkan secara eksklusif lagu baharu ciptaannya bersama pengerusi Verve Records, David Foster yang bakal dimuatkan dalam album ketiganya kelak.
“Ini merupakan hadiah untuk anda semua yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada karya saya,” ujarnya sebelum melantunkan lagu All I Do.
Selain All I Do, Yuna turut mempersembahkan lagu-lagu hitnya termasuk Terukir Di Bintang, Lelaki, Material dan Decorate.
Pada malam itu juga, Yuna mengalunkan lagu I Wanna Go sebagai persembahan encore konsert Yuna Live In Kuala Lumpur.
Secara keseluruhan, persembahan Yuna pada kali ini masuk dalam kategori persembahannya yang terbaik. Yuna juga selesa mengenakan sehelai busana sepanjang konsert berlangsung.
Diskografi yang dipersembahkan Yuna juga disusun kemas, sesuai menceritakan perjalanannya sebagai seorang penghibur antarabangsa,
Cuma, sistem audio kedengaran kurang jelas, mungkin disebabkan keputusan pihak penganjur, Livescape, meletakkan pihak media di tingkat paling atas di dewan tersebut.
Bagaimanapun, kredit harus diberikan kepada Yuna yang masih mengekalkan skala relevannya di Malaysia sementelah utuh membina karier jauh di Amerika Syarikat.