Keterbukaan Emma Maembong


PRAHARA kontroversi yang membadai hidup pelakon Emma Maembong bagaikan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bakal reda.

Selepas hubungan bersama bekas kekasihnya, pelawak Zizan Razak ternoktah di tengah jalan, kini muncul pula sensasi terbaharu mengenai Emma dengan teman intimnya, Kamal Adli. Biarpun enggan mengaku sedang dalam fasa percintaan, Emma baru-baru ini dikatakan telah menampar ‘kekasih’nya itu di sebuah taman rekreasi.

Menerusi ruangan pojok yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan, Emma atau nama lengkapnya, Fatimah Rohani Ismail dikatakan berang dengan kelakuan Kamal memerhatikan seorang gadis yang kebetulan berada berhampiran mereka ketika itu.

Lebih memburukkan keadaan, kejadian tersebut juga disaksikan oleh orang awam yang mengunjungi taman rekreasi berkenaan.

Berkesempatan bertemu dengan Emma pada majlis pelancaran rancangan realiti The House di kafe Talent Lounge, Damansara Perdana baru-baru ini, wanita putih gebu itu mengakui kesahihan khabar angin tersebut.

Bagaimanapun, pelakon berusia 23 tahun itu enggan mengulas lanjut mengenai alasannya bertindak sedemikian.

“Ya, memang saya melakukan perkara tersebut (menampar Kamal, namun, biarlah sebabnya menjadi rahsia,” ungkap Emma ringkas sambil mengukirkan senyuman.


Rupa-rupanya, Emma menyimpan perincian ‘drama’ tersebut untuk diumumkan dalam sebuah sidang akhbar khas yang berlangsung, Ahad lalu.

Adegan yang hangat diperkatakan hanyalah gimik sebuah iklan minuman, Est Cola yang menampilkan Emma dan Kamal sebagai duta.

Walaupun kisah keakraban mereka berdua sering meniti di bibir khalayak, namun Emma masih enggan meletakkan sebarang status rasmi terhadap hubungannya dengan jejaka itu.

“Sejak dahulu lagi, saya sering mengatakan bahawa saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Rasa itu hadir mungkin disebabkan saya sudah mempunyai karier yang stabil dan tidak mahu berlengah-lengah dengan cinta monyet.

“Jika dia (Kamal) merupakan jodoh yang telah ditentukan Tuhan, saya menerima dengan hati yang terbuka. Namun, jika sebaliknya, saya tidak akan menutup hati untuk bercinta lagi,” katanya.


BERSATU Emma, Chacha dan Yaya kembali bersama selepas hampir 10 tahun tidak tinggal sebumbung.

Ditebak dengan soalan adakah hubungan kali ini lebih baik berbanding hubungan cintanya bersama Zizan, pelakon drama bersiri Projek Memikat Suami itu berkata, dia tidak boleh mengutarakan sebarang perbandingan, sementelah setiap proses perkenalan pasti bermula dengan perkara yang indah.

“Biasalah, pada awal perkenalan, semuanya indah belaka. Jadi, saya tidak berhak menentukan siapa yang lebih baik antara mereka.

“Jika rasa serasi dan persefahaman itu hadir, saya percaya mungkin itu adalah jodoh saya,” katanya lagi.

Bukan besar kepala

Lumrah hidup sebagai seorang selebriti, selain kisah cinta yang menjadi buruan peminat, tingkah-laku juga sering menjadi titik perhatian.

Selesai dengan isu tampar-menampar, Emma turut dikaitkan dengan khabar angin yang mendakwa, dia enggan memenuhi permintaan seorang jurufoto untuk merakam gambarnya sewaktu ditemui pada sebuah majlis sidang akhbar baru-baru ini.

Mengakui tidak pernah berniat untuk menyakiti hati sesiapa, Emma berkata, dia mempunyai alasan tersendiri, mengapa permintaan tersebut ditolaknya.

“Saya tidak pernah lari atau menolak mana-mana permintaan pihak media untuk merakam gambar.

“Cuma, pada hari itu, saya mahu bergegas ke tempat lain dan permintaan itu dibuat selepas gambar saya selesai dirakam oleh jurufoto lain.

“Saya terlebih dulu meminta maaf kepada jurufoto itu dan dia tidak kisah dengan penolakan tersebut. Justeru, saya sendiri tidak tahu mengapa isu ini diperbesarkan,” katanya.

The House

Ironi, walaupun sering dihenyak dengan pelbagai kontroversi, Emma seperti sudah bersedia untuk berkongsi dengan lebih terbuka mengenai sisi realitinya menerusi rancangan The House.

Rancangan yang menampilkan Emma dan dua lagi adik-beradiknya, Chacha Maembong dan Yaya Maembong itu bakal menyaksikan keakraban dan perangai mereka yang tinggal bersama di sebuah rumah banglo selama 10 hari.


SEDAR DIRI Emma mengakui tidak pernah mengecilkan hati pihak media dan dakwaan yang mengatakan dia kini sombong dan keras kepala tidak benar sama sekali.

Berbicara mengenai kesediaan untuk membenarkan penonton menyaksikan kehidupan harian mereka yang dirakam menerusi lensa kamera, Emma berkata, format The House tidak seperti kebanyakan rancangan realiti antarabangsa yang lain.

Ungkapnya, dia sekeluarga bersetuju untuk terlibat dalam rancangan tersebut kerana ia menampilkan format tugasan dalam setiap episod yang dipaparkan.

“Berbanding rancangan realiti antarabangsa yang memerlukan kamera merakam pergerakan selebriti setiap masa, The House hanya menampilkan rutin harian kami tiga beradik dalam menyelesaikan tugasan yang diberi.

“Sejujurnya, kami mengambil masa berbulan-bulan sebelum memberikan kata putus untuk terlibat dengan rancangan ini. Namun, keputusan ini berbaloi memandangkan kami sudah lama tidak tinggal bersama,” ujarnya yang sedikit gugup menanti penerimaan penonton mengenai rancangan tersebut.

Tambah Emma, sejak dia, Chacha dan Yaya mula membina karier sebagai pelakon, masa yang diperuntukkan untuk bertemu tidak sekerap dahulu.

Katanya, kali terakhir mereka berkumpul bersama 11 adik-beradik yang lain adalah sewaktu menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu.

Justeru, kesempatan itu diambil untuk mengeratkan jalinan hubungan adik-beradik yang semakin renggang dek kekangan masa dan tuntutan kerjaya.

“Ramai beranggapan bahawa kami masih tinggal sebumbung, walhal masing-masing sibuk dengan kerjaya.

“Jadi, menerusi The House, perasaan kasih sayang sesama kami kembali bertaut,” jelas Emma lagi.

Dalam pada itu, Yaya yang kini hamil empat bulan berkata, suaminya yang juga pelakon Wan Raja telah memberikan keizinan untuk terlibat dalam rancangan tersebut asalkan dia tahu menjaga diri.

“Suami sangat memahami dan berkompromi dengan saya. Jadi, saya harus mengutamakan kepercayaan tersebut,” ujarnya.

Menerusi rancangan The House, Emma, Chacha dan Yaya diberikan tugasan secara berkala dan tugasan tersebut perlu diselesaikan bagi mencapai matlamat tertentu.

The House bakal disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak bermula 28 Oktober 2015 dan diikuti dengan siaran televisyen bermula 2 November 2015.

Previous Post Next Post