Sufi AF Saya tidak menyesal



LUMRAH anak seni tidak pernah terlepas daripada terkena tempias kontroversi. Belum seminggu bergelar juara Akademi Fantasia 2015 (AF 2015), pelbagai isu kurang enak dilemparkan kepada anak jati Singapura ini.

Tidak cukup kejuaraannya dipertikai, kini kisah silam dan tindakan menyokong kenyataan penyanyi dari Indonesia, Tegar terhadap isu gangguan seksual oleh bapa tirinya, Muhammad Arif Dollah mula di gembar-gemburkan.

Enggan menoleh ke belakang, Sufi atau Mohammad Sufie Rashid, 24, menjelaskan perkara itu tidak perlu dipanjangkan memandangkan kes tersebut telah pun digugurkan.


“Tujuan utama saya bertindak sebegitu adalah untuk membantu teman saya, bukanlah semata-mata untuk pertahankan diri saya.

“Saya tidak menyesal tampil membuat pendedahan kerana saya mahu pertahankan hak kami.

“Namun disebabkan kes telah digugurkan dan saya rasa ia tidak perlu diperbesarkan lagi,” katanya baru-baru ini.

Sebagai pendatang baru dalam industri hiburan, Sufi menegaskan dirinya hanya akan memberi fokus pada kariernya yang baru bermula.

“Sepanjang berada di dalam akademi, saya memang tidak mengetahui langsung perkembangan dunia luar termasuklah cerita-cerita yang mengaitkan diri saya.

“Ini permulaan karier saya dan sudah tentu saya akan beri fokus sepenuhnya. Cerita remeh-temeh itu mungkin tidak penting untuk saya, lagi pun ia telah berlalu.

“Walaupun masih baru, Insya-ALLAH, saya akan menghadapi semua ini dengan tabah,” katanya yang juga merancang untuk menetap di Kuala Lumpur.

Previous Post Next Post