Aishah Ilias Tak Kesal Tolak Tawaran Lakonan Demi Keluarga



Pelakon Aishah Ilias memberitahu dia terpaksa memerlahankan kerjaya lakonannya sepanjang tahun ini bagi memberi perhatian terhadap keluarga.

Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Ilias, 28, berkata, dia terpaksa melepaskan beberapa tawaran lakonan demi keluarga yang lebih memerlukannya ketika ini.

“Tahun ini memang saya agak perlahan aktiviti seni kerana saya ada tanggungjawab yang lebih penting terhadap keluarga.

“Ia terlalu peribadi untuk dikongsikan dan apa yang pasti bila semuanya selesai tahun depan saya akan kembali aktif semula,” ujarnya kepada mStar Online.



Aishah berkata, dia tidak berasa kesal dan terkilan apabila terpaksa berundur ketika namanya sedang menjadi pilihan penerbit.

Katanya, apa yang lebih penting ialah melihat ahli keluarga yang lain berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

“Tidak apalah, saya percaya pada rezeki yan tuhan beri. Tahun lalu muka saya dah terlalu banyak keluar di televisyen hingga penonton pun bosan.

“Bagus juga rasanya saya berehat seketika dan Insya-Allah tahun depan kalau semuanya sedah baik-baik sahaja, saya akan kembali aktif,” ujarnya.

Aishah berkata, dia kini berjinak-jinak dengan bisnes baju yang dijual secara online dan vendor butik.

“Pendapatan utama saya memang di bidang lakonan, namun sekarang saya sudah mula jual baju kurung dan kebaya secara online.

“Ada juga saya letak di beberapa butik di sekitar Kuala lumpur. Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat memberi duit poket kepada saya,” ujarnya.

Previous Post Next Post