MEMPUNYAI program realiti sendiri, The House bersama adik-beradiknya, Yaya Maembong mendedahkan rahsia di sebalik penglibatannya dalam siri terbitan Astro itu.
Menurut Yaya, pada mulanya dia berasa serba salah untuk meninggalkan suaminya, namun perasaannya mula berubah setelah 10 hari menjalani penggambaran untuk program tersebut.
“Sepanjang saya menjayakan program ini saya dapat rasakan suami mestilah sangat suka dengan ketiadaan saya selama 10 hari.
“Pastinya dia lebih bebas sebab dapat keluar dan bertemu rakan-rakan. Juga boleh buat sesuka hati tanpa kekangan saya,” katanya dengan nada gurauan ketika ditemui pada majlis sidang media The House, baru-baru ini.
Namun suaminya, Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 38, yang hadir sama ketika majlis tersebut, cepat-cepat mencelah dengan memberikan jawapan sebaliknya.
"Eh... saya sebenarnya sedih apabila isteri tiada di rumah. Banyak kerja rumah yang terbengkalai.
"Oleh itu saya bukanlah suami yang suka apabila isteri tiada,” katanya.
Yaya atau nama sebenarnya Rabbiatul Adawiyyah, 39, telah mendirikan rumah tangga bersama Wan Raja sejak Disember 2014 dan kini sedang hamil anak pertama.
Berkongsi pengalamannya lagi, Yaya mengakui ada ketikanya dia terlupa yang dirinya sedang hamil.
“Ketika mula penggambaran program itu, saya sudah mengandung tiga bulan. Namun ada kalanya saya terlupa yang saya ini mengandung.
“Oleh itu, saya kelihatan sedikit lincah apabila dapat tinggal bersama dua adik saya iaitu Emma Maembong dan Cha Cha Maembong menjalani aktiviti bersama.
“Selalunya, mereka (Emma dan Cha Cha) yang mengingatkan saya semula perihal keadaan diri saya,” katanya.