MAHKAMAH Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan semalam, menetapkan 5 Januari depan untuk mendengar permohonan isteri penyanyi rock Awie, Rozana Misbun berhubung tuntutan hak penjagaan kekal tiga anak mereka.
Tarikh tersebut ditetapkan pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Faiz Afsal Abu Bakar ketika sebutan kes yang dihadiri pasangan itu bersama peguam masing-masing.
Ketika ditemui pemberita, peguam Mohd Syafiq Norizan mewakili Awie memaklumkan, pihaknya bersedia untuk sesi perbicaraan itu selepas mereka selesai memfailkan afidavit pembelaan terhadap permohonan Rozana pada September lalu.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran pembelaan itu sebaliknya berkata, ia bakal didedahkan pada perbicaraan nanti.
Awie, 47, yang popular dengan lagu Ingatkan Dia berkata, sebagai bapa kandung kepada tiga anak-anak tersebut, beliau mempunyai hak mendapatkan hak jagaan.
“Antara alasan dikemukakan, saya menanggung keluarga sedangkan plaintif (Rozana) tidak bekerja, jadi bagaimana dia mampu menanggung anak-anak,” katanya.
Rozana, 37, memfailkan hak penjagaan kekal terhadap tiga anaknya, Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, pada 4 Februari lalu.
Pada 27 Januari lalu, mahkamah tinggi syariah putuskan hak jagaan tiga kanak-kanak itu diserahkan kepada Rozana sehingga perintah kekal dikeluarkan.