Dawai Asmara tanpa Azma, Ika Nabella


IKA NABILA (kiri) telah memaafkan Azma (kiri) atas kekasaran yang berlaku. Selaku penerbit, Rosyam Nor menghormati keputusan mereka menggundurkan diri daripada naskhah Dawai Asmara.

DEMI mendapatkan hasil terbaik untuk sebuah naskhah berjudul Dawai Asmara, timbul kontroversi yang mencalarkan imej pengarah berbakat, Azma Aizal Yusoof, 33, apabila dia mengaku bersalah memukul pelakon Ika Nabila di set penggambaran.

Akibat daripada ‘kecuaian’ tersebut, Azma didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja terhadap bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim keenam itu sekali gus didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas menyerah diri di Balai Polis Hulu Klang pada 13 November lalu.

Oleh sebab kekecohan yang tercetus, Azma dan Ika menarik diri dengan rela hati daripada penggambaran drama tersebut. Walhal, ia masih berbaki 13 episod lagi sementelah tujuh episod sebelumnya diarahkan oleh Azma dan tetap dikekalkan. Pengunduran mereka juga telah dipersetujui pihak penerbit, Suhan Movies.


Khidmat Azma sebagai pengarah akan digantikan oleh pengarah Aidil Fitri Mohd. Yunus, sementara watak Ika Nabila digantikan oleh pelakon baharu iaitu Putri Najwa.

Pengarah Urusan syarikat tersebut, Datuk Rosyam Nor berkata, akibat insiden tersebut ia sedikit sebanyak mencacatkan perjalanan penggambaran drama itu dan juga industri hiburan tempatan.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak sama ada Azma atau Ika kerana masing-masing sudah besar untuk menentukan apa yang terbaik buat mereka. Saya cuma melakukan tanggungjawab sebagai penerbit drama tersebut.

“Isma dan Ika ada berjumpa dengan saya menjelaskan apa sebenarnya yang telah berlaku. Jadi saya berharap isu ini sudah pun selesai dan tidak terus diperkatakan lagi,” katanya.

Ditanya sama ada insiden tersebut bakal memberikan impak positif terhadap rating drama yang bakal disiarkan menerusi slot Akasia, Rosyam tidak mahu terlalu memikirkan tentang hal persoalan tersebut.

“Jika isu tersebut membuatkan rating drama tersebut tinggi, apa salahnya. Ia menjadi suatu bonus buat kami tapi bukan itu tujuan utamanya menerbitkan drama ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, mungkin cara yang digunakan Azma terlalu keras dan melampau. Namun, dia yakin Azma memang mahukan hasil yang terbaik untuk karya garapannya itu sehingga dia bertindak sedemikian.

Previous Post Next Post