Walaupun ikatan perkahwinan antara Regina Andriane Saputri dan pengacara kontroversi, Farhat Abbas sudah berakhir awal bulan ini, namun ternyata wanita itu tetap merindui bekas suaminya.
Regina mula menjalinkan hubungan sulit dengan Farhat ketika dia masih bertugas sebagai setiausaha peribadi lelaki itu dan mencetuskan kekecohan kerana bernikah secara senyap tahun lalu.
Namun begitu, sejak Oktober tahun ini, masalah dalaman rumah tangga keduanya semakin meruncing dan akhirnya membawa kepada perceraian.
“Saya tidak menyesal menjadi isterinya walaupun hubungan kami tidak bertahan lama. Sampai sekarang, saya masih rindukan dia dan terbayang-bayang kelibatnya di rumah apabila bersendirian.
“Perkahwinan ini banyak memberi pengajaran, selepas ini saya pasti akan lebih berhati-hati memilih calon suami,” tuturnya lagi.
Walaupun bukan seorang selebriti, nama Regina kini menjadi sebutan selepas kes perceraiannya dengan Farhat diikuti peminat industri seni.