Siti Nordiana digilai, diburu peminat



Ketika zaman kegemilangannya pada tahun 90-an, Siti Nordiana Alias, 31, merupakan antara penyanyi remaja yang paling mendapat perhatian. Pada waktu itu, usianya juga sekitar awal 20-an. Selain tampil dengan imej manis, penyanyi yang juga mesra disapa Nana begitu sinonim dengan lagu duet bersama vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Abdillah Murad atau lebih dikenali sebagai Achik.

Namun, rata-rata peminat menghadkan bakat nyanyian wanita kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan hanya sekadar boleh membawa lagu-lagu sedih dan berentak balada.

Nana akur. Dia tidak pernah menyalahkan peminat kerana menyedari, zaman sewaktu namanya melonjak naik, lagu-lagu ‘tangkap leleh’ adalah yang paling digemari oleh masyarakat.

Cuma apabila peredaran masa berlaku seiring dengan kemunculan genre-genre muzik baharu yang bagaikan cendawan selepas hujan, Nana turut tenggelam sebentar dalam perjuangan kariernya.

“Banyak yang telah berlaku sejak zaman Achik & Nana dahulu. Perkahwinan saya, kelahiran anak dan pemergian Achik bersama bekas suami, Faizal Yusup sedikit sebanyak menjadikan faktor fokus hidup saya terganggu sebentar.

“Namun saya masih sayangkan industri seni. Atas dasar itu, saya cekalkan diri untuk sahut cabaran apabila terpilih untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza 2015,” tutur Nana ketika ditemui selepas konsert minggu kelima program tersebut di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Gegar Vaganza musim kedua ini disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad pada pukul 9 malam bermula 18 Oktober lalu.


Keluar dari kepompong

Ternyata, niat Nana untuk menjadikan Gegar Vaganza 2015 sebagai platform untuk kembali dikenali bukan satu keputusan yang salah kerana program itu mengubah pandangan skeptikal peminat pada kebolehan dirinya.

Setelah hampir enam tahun kerjayanya mendatar, Nana berjaya memecahkan kepompong Achik & Nana apabila dia mempersembahkan genre lagu yang langsung tidak menggambarkan profil seninya sebelum ini.


Walaupun sering mendapat undangan nyanyian di ibu kota, Nana memilih untuk tinggal di negeri kelahirannya iaitu Negeri Sembilan kerana lebih selesa dan dekat dengan keluarga. Selain itu, jika dia perlu ke Kuala Lumpur untuk sebarang urusan, dia mudah untuk menghantar Rayyan ke rumah ibunya.

Lebih menguja kan, dia menyambut cabaran yang datang setiap minggu dengan kemas, malah kemudian mengagumkan juri serta pemerhati seni.

Ironinya, Nana sendiri terkejut dengan kemampuan dirinya membuat persembahan yang keluar dari zon selesa. Jauh sekali untuk mendapat reaksi positif daripada peminat yang menonton.

“Bermula minggu kedua, selepas mendapat tugasan lagu Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain, saya sudah mula gelisah. Bukan kerana takut tetapi risau, juri dan peminat tidak boleh terima cara nyanyian yang dipersembahkan.

“Walaupun lagu itu sering dinyanyikan untuk persembahan di majlis-majlis biasa, debaran untuk pentas pertandingan memang jauh berbeza,” luahnya yang sering mendapat pujian dan komen memberangsangkan sepanjang pertandingan.

Menurut Nana, dia memang sengaja meletakkan lagu-lagu yang lari jauh daripada kebiasaan seperti Kasihnya Laila milik Jinbara dan Nirmala oleh Datuk Siti Nurhaliza kerana mahu memberi peminat mendengar suaranya dari sudut berbeza.

Cuma dia masih juga menyelitkan sebuah lagu popularnya bersama Achik iaitu Memori Berkasih kerana mendapat terlalu banyak permintaan daripada peminat.

Anak pengkritik tetap

Walaupun pada saat menyanyikan lagu tersebut sewaktu minggu keempat bersama Lan Kristal, ingatannya melayang jauh mengenang arwah Achik tetapi Nana mencuba sedaya upaya agar tidak menitiskan air mata.

“Tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi rakan baik saya sejak zaman remaja. Saya dengan Achik sama-sama mencipta nama menerusi jenama Achik & Nana, tentunya apabila menyanyikan kembali lagu kami, perasaan sebak itu ada.


Hikmah persembahannya yang menonjol dalam Gegar Vaganza 2015, undangan nyanyian buat Nana melimpah ruah dan pihak-pihak di luar sana semakin memberikan kepercayaan kepada dirinya. Menurut Nana, setakat ini, dia telah menerima undangan yang dijadualkan sehingga bulan Mac tahun hadapan.

“Tetapi saya puas hati dapat menyanyikan lagu tersebut kerana peminat berterima kasih apabila saya mengubat kerinduan mereka kepada arwah Achik,” jelasnya yang turut memberitahu disebabkan persembahannya itu, video sewaktu dia membuat persembahan dengan Achik diviralkan di laman sosial.

Selain bersedia untuk mendapat kritikan daripada juri dan peminat, Nana terlebih dahulu akan mendapat komen daripada anak tunggalnya, Rayyan Nakhaie, 7, yang akan mendengar setiap lagunya sebelum dipersembahkan.

Kata Nana, Rayyan akan memastikan setiap nyanyiannya di televisyen akan direkod agar dia dapat menontonnya berulang kali selepas itu.

Walaupun anak lelakinya itu tidak menunjukkan sebarang minat terhadap muzik tetapi untuk nyanyian ibunya, Rayyan memberikan pengecualian.

“Ketika perlu menyanyikan lagu Memori Berkasih, sebenarnya saya ingin mengubah sedikit cara nyanyian kerana tidak mahu terlalu sama sewaktu berduet dengan Achik.

“Tetapi Rayyan tidak benarkan, dia menyuruh saya menyanyi seperti biasa kerana menurutnya, dia melihat saya lebih menjiwai lirik apabila tidak membuat sebarang perubahan pada lagu tersebut,” cerita Nana sambil tertawa.

Bercakap tentang anak, Nana turut menyatakan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berumah tangga dalam masa terdekat kerana mahu fokus pada karier dan Rayyan.

Tambahnya, bukan menolak jodoh tetapi jika boleh, dia mahu Rayyan sekurang-kurangnya mencecah umur sembilan tahun barulah soal perkahwinan difikirkan.

Dengan Gegar Vaganza 2015 berbaki tiga minggu sebelum ke peringkat akhir, Nana berjanji akan mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.

“Setiap peserta mahu menang tetapi adat pertandingan, pasti ada yang tewas. Memang kalau diizinkan Allah, saya ingin jadi juara tetapi buat masa sekarang, tidak mahu terlalu memikirkan soal menang kalah kerana ia hanya akan menganggu fokus saya.

“Saya bersyukur dengan apa sahaja keputusan memandangkan program ini sudah banyak membuka pintu rezeki buat saya kerana menerusinya, orang kembali ingat siapa Siti Nordiana dan tahu sejauh mana bakat saya,” tuturnya sambil tersenyum mesra sebelum menutup perbualan.

Previous Post Next Post