KERJASAMA LAGI - Dayang dan Najwa masing-masing tidak menolak andai suatu hari nanti akan bekerjasama dalam sebuah lagu. Tambah menarik, Najwa menyatakan hasrat untuk menulis lagu buat Dayang suatu hari nanti.
JIKA diukur dari segi jalur muzik, Dayang Nurfaizah mencuri perhatian ramai dengan genre balada pop, manakala Najwa Mahiaddin pula terkenal genre jazz. Apa yang pasti, masing-masing mempunyai kualiti vokal yang mampu membuatkan bulu roma pendengar berdiri kerana kehebatannya.
Lebih menarik apabila kedua-dua wanita ini bergabung.
Buat pertama kalinya, Dayang dan Najwa berkolaborasi dalam satu projek yang agak unik.
Peluang berduet dalam satu lagu direalisasikan dalam satu projek khas Mash Up Hot FM yang diberi nama November To Remember.
Melalui projek tersebut, lagu-lagu popular kedua penyanyi berbakat itu akan digabungkan menggunakan teknologi terkini di studio rakaman yang terletak di Kamar Seni Studio milik AG Coco di Cheras, Kuala Lumpur.
Menariknya, ia tidak terhenti setakat itu. Bakal dimainkan di corong radio, klip video lagu yang menjalani proses mash up itu juga dimuat naik di laman perkongsian video, YouTube.
Antara lagu yang akan digabungkan adalah Di Pintu Syurga (Dayang) bersama Impian Terindah (Najwa). Kemudian, ada juga lagu Sama Saja (Najwa) dan Tak Pernah Menyerah (Dayang) serta Got To Go (Najwa) dipadu bersama lagu Dayang Sayang Kamu (Dayang).
Teruja dengan kerjasama sulung itu, Dayang, 34, memberitahu, sudah lama dia mengagumi dan menyukai bakat Najwa sebagai seorang penyanyi.
“Bagi saya, Najwa merupakan seorang penyanyi yang ada wawasan jelas. Saya memang kagumi kebolehan vokal dia. Gembira kerana akhirnya saya dapat bekerja dengannya untuk projek ini.
“Saya pernah melakukan persembahan pentas sebelum ini di sebuah persembahan skala kecil di Restoran Alexis sekitar bulan Julai lalu. Pada waktu itu, kami berduet menyanyikan lagu I’ll Be There dendangan asal mendiang Michael Jackson dan Treasure (Bruno Mars). Sejak itu, semangat saya untuk berduet dengannya semakin membuak-buak,” ujar Dayang bersemangat.
Sementara itu, ketika diajukan soalan yang sama, Najwa, 29, menyatakan, Dayang adalah antara penyanyi yang menjadi idolanya sejak kecil.
Justeru, peluang berduet dengan penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang, Sarawak itu membuahkan keterujaan luar biasa di dalam benak hatinya.
“Sejak kecil lagi saya memang suka dengar suara Dayang. Kebolehan vokalnya tidak boleh disangkal lagi serta telah mendapat pengiktirafan daripada ramai pihak.
“Walaupun berlainan genre muzik dan masing-masing sibuk dengan jadual aktiviti seni, akhirnya dapat juga kami bekerjasama dan disatukan melalui muzik. Saya teruja sehingga tidak tahu mahu kata apa (ketawa),” ujar penyanyi yang baru-baru ini mendedikasikan sebuah lagu berjudul After The Rain untuk Malaysia.
Dayang positif
Usai mencetuskan fenomena dengan lagu berhantu Di Pintu Syurga tahun lalu, Dayang akui bahawa perjalanan seninya sebagai penyanyi semakin terbuka luas. Bagaimanapun, dalam kegusaran mencipta produk terbaik untuk santapan peminat, penyanyi hitam manis itu tetap positif untuk mencuba yang terbaik bagi meneruskan kelangsungan kerjayanya dalam industri.
“Ya, adakalanya saya risau untuk mendepani hari selanjutnya kerana terlalu mencuba untuk memuaskan hati semua pihak.
“Menjadi satu cabaran apabila tanda aras baharu sudah dilekatkan pada profil seseorang anak seni. Justeru, apa yang boleh dilakukan hanyalah terus mencuba yang terbaik dan terus mencuba,” luah Dayang yang akan terlibat dalam pementasan Malam Terang Bulan esok hingga 22 November ini di Dewan Filharmonik Petronas.
Ditanya sama ada dia akan berkolaborasi dengan Najwa pada masa akan datang, Dayang tidak menolak kemungkinan itu. Malah, dengan berlapang dada dia akan mengambil peluang yang disifatkan sebagai keemasan dan tidak wajar dilepaskan.
“Insya-Allah kalau ada peluang, apa salahnya. Tinggal lagi, buat masa ini masing-masing sibuk dengan jadual aktiviti seni. Kalau ada rezeki, mungkin kami boleh berduet dalam sebuah lagu baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Dayang tidak meletakkan harapan tinggi apabila lagu dendangannya, Takkan Pernah Menyerah layak bertanding dalam pusingan separuh akhir Muzik-Muzik ke-30.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki lagu tersebut layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL), ia menjadi satu bonus buat diri saya. Seperti tahun lalu, saya akan cuba untuk melakukan persembahan yang terbaik.
“AJL adalah pentas untuk menghargai dan memberi pengiktirafan kepada pembikin muzik. Sebagai penyanyi, tugas saya adalah menyampaikan lagu dengan penuh penghayatan dan kesungguhan,” tegasnya.
Pada AJL edisi ke-29 (AJL29) lalu, Dayang memenangi tempat ketiga melalui lagu Di Pintu Syurga ciptaan Tam Mustafah dan lirik oleh Rudy Imran. Melalui lagu yang sama, penyanyi yang diberi gelaran Beyonce Malaysia itu juga dinobatkan sebagai Vokal Terbaik.
Najwa masih mencuba
Kerjaya seni Najwa boleh disifatkan tidak didorong keinginan untuk menempa populariti seperti sesetengah artis yang lain, walhal dia mempunyai segala-galanya. Vokal yang memukau, ‘pengaruh’ keluarga dan muzik yang lain daripada lain.
Wanita itu mengakui bahawa populariti bukanlah segala-galanya bagi dirinya dalam lapangan seni. Oleh itu, Najwa lebih memilih kepada khalayak yang menyukai muziknya, bukan atas tiket ingin mengejar populariti.
“Setiap penyanyi mempunyai misi yang berbeza. Saya sedar muzik jazz masih sedikit asing di Malaysia berbanding genre muzik lain, namun ia tetap mempunyai nilai tersendiri dalam arus perdana.
“Saya seronok, terutamanya terlibat dalam acara seperti KL International Jazz and Arts Festival yang berlangsung baru-baru ini. Pada festival tersebut, ramai penyanyi luar negara datang ke Malaysia untuk berkongsi bakat dan muzik. Perkara seperti itu memberi kepuasan kepada diri saya sebagai penyanyi,” ujarnya yang telah melahirkan dua album berbahasa Inggeris sebelum ini iaitu Innocent Soul (2011) dan Aurora (2014).
Diasak pertanyaan mengenai sama ada perjalanan seninya terganggu selepas status kerjaya politik ayahnya berubah di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri beberapa bulan lalu, Najwa menidakkan perkara tersebut.
“Nak kata mengganggu, tidak juga. Radio tempatan memainkan lagu saya seperti biasa. Persembahan di kaca televisyen juga berjalan seperti biasa.
“Cuma, jika ada pihak yang merasakan karya saya seperti disekat atau dipulaukan, itu mungkin atas keinginan saya sendiri kerana sebelum ini pun ia tetap seperti itu,” getusnya penuh hemah.
Beralih soal bahtera perkahwinan yang mula dilayari bersama suami tersayang, Idris Koh, sejak bulan Mac lalu, Najwa tidak lokek berkongsi perihal rumah tangga yang sudah berusia lebih kurang tujuh bulan itu.
“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sebagai seorang isteri. Saya bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami minat dan kerjaya sebagai seorang penyanyi.
“Saya percaya setiap rumah tangga ada pasang dan surutnya. Saya juga tidak terkecuali. Apa yang kami lakukan adalah berbincang jika ada perkara yang tidak dipersetujui. Insya-Allah,” kongsinya.
Najwa juga mengatakan dia dan suami mencuba yang terbaik untuk menghadirkan ‘orang baharu’ dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri. Namun, dia menyerahkan segalanya pada kuasa Tuhan.
“Kalau ada rezeki, saya terima. Kalau belum lagi, tidak mengapa. Memang buat masa ini fokus dengan kerjaya. Bukan bermaksud saya tidak mahu anak langsung tapi buat masa ini, memang belum ada rezeki lagi,” katanya yang bakal melancarkan single terbaharu berjudul Sama Saja dalam masa terdekat.