A. Aida tidak peduli naskhahnya dikutuk


A. AIDA merasmikan pejabat baharunya di Wisma Rampai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi. Barangkali bidalan tersebut sesuai menggambarkan suara-suara kurang enak didengar mengenai drama yang sudah tamat tempoh siarannya menerusi slot Akasia di TV3 yang berjudul Hello Mr. Perfect.

Drama rantaian terbitan A. Aida Production yang menemui tarikh akhir tayangan pada Selasa, 17 November lalu itu dikritik ramai. Selain jalan cerita yang kurang memuaskan, kebanyakan respons negatif yang diterima mempersoalkan mutu lakonan pelakon utama drama tersebut iaitu Fattah Amin dan pendatang baharu, Ruhainies. Penyatuan dua pucuk muda itu didakwa begitu mengecewakan.

Bagaimanapun, di sebalik sambutan negatif yang bertebaran di laman sosial, drama tersebut tetap dilihat mendapat sambutan dalam kalangan penonton.

Penerbitnya, A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang berpendapat, kritikan adalah perkara biasa dalam bisnes hiburan.

Ditemui Kosmo! usai majlis doa selamat sempena perasmian pejabat baharu miliknya di Wisma Rampai, Taman Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, A. Aida menjawab segala tohmahan negatif mengenai perkara tersebut.

Kosmo!: A. Aida, anda barangkali sedia maklum tentang komen negatif segelintir penonton yang mengutuk drama terbitan anda, Hello Mr. Perfect. Sebagai penerbit, apa yang dapat anda katakan?

A. Aida: Saya tidak kisah apa orang nak kata. Apa yang penting drama tersebut meletup dan mendapat sambutan peminat. Menariknya, bukan sahaja drama berkenaan menjadi bualan tetapi lagu temanyanya Sorry Sorry Sayangku yang liriknya dihasilkan saya turut menjadi hit dalam kalangan penonton. Sejak mula berkecimpung dalam dunia seni, saya percaya kepada rezeki. Lagi dikutuk, saya yakin semakin Tuhan akan menyebelahi saya.

Ramai juga mempersoalkan pemilihan pelakon terutama pelakon baharu sebagai heroin drama berkenaan, Ruhainies. Komen anda bagaimana?

Beginilah. Kalau tidak diberikan peluang kepada pelakon-pelakon baharu, bagaimana industri mahu melahirkan lebih ramai pelakon yang berkualiti? Jadi, saya berikan peluang kepada sesiapa yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelakon. Lagipun, bagi saya dalam apa jua perkara perlu ada yang baharu dan lama.


Umum mengetahui, anda mempunyai isu dengan pengarah Shuhaimi Lua yang melibatkan isu kualiti kerja dan bayaran. Bagaimana hubungan anda dengan Shuhaimi kini?

Saya tidak mahu mengulas mengenai hal itu. Saya sudah tutup buku.

Baiklah, belum terlambat untuk Kosmo! ucapkan tahniah kepada anda atas pembukaan pejabat baharu. Boleh ceritakan sedikit tentang pejabat berkenaan?

Alhamdulillah. Lebih kurang lima tahun saya menyewa pejabat sebelum ini. Akhirnya, dapat juga saya memiliki pejabat sendiri tanpa perlu menyewa. Pejabat baharu ini mempunyai lima unit atau pintu.

Buat masa sekarang, saya mempunyai seramai 16 orang kakitangan tetap dan lebih 50 orang petugas sambilan. Ruang pejabat ini dilengkapi bilik mesyuarat, bilik suntingan dan bilik perkakasan penggambaran dan telah mula beroperasi sejak dua bulan lalu.

Anda semakin berani mengambil risiko membelanjakan jumlah wang yang besar bagi bidang hiburan. Boleh ceritakan bagaimana keyakinan itu datang?

Baru-baru ini, saya berjumpa dengan seorang ustaz untuk membuang keraguan dalam hati tentang banyak perkara. Setelah berjumpa dengannya, saya semakin tenang dan pasti dengan apa yang saya kerjakan dalam hidup. Rakan-rakan rapat juga banyak memberi pendapat dan sokongan kepada saya. Saya percaya, lebih banyak saya memberi, lebih luas rezeki saya akan terbuka nanti. Insya-Allah.

Anda dilihat lebih menumpukan kepada penghasilan drama, bagaimana dengan filem?

Buat masa ini, saya belum ada keberanian untuk menghasilkan filem. Insya-Allah apabila sudah bersedia nanti saya akan cuba menghasilkan filem pula.

Apa projek atau drama terbaharu anda yang akan datang?

Telemovie terbitan saya, Cik Siti Tanah Masyhur bakal ditayangkan di TV3 bulan Disember nanti. Sementara itu, buat masa ini drama berjudul Bodyguard sedang menjalani penggambaran.

Previous Post Next Post