Kecik nyawa kedua Hyper Act



BIARPUN kini posisi vokalis kumpulan Hyper Act bertukar tangan, namun kehadiran Kecik (depan, dua dari kiri) dijangka mendapat penerimaan baik daripada peminat.

BEBERAPA bulan lalu, nama kumpulan Hyper Act sedikit goyah sementelah berlaku pergolakan dalaman kumpulan itu membabitkan bekas vokalisnya, Ronnie Hussein sehingga memaksa mereka menamatkan khidmat penyanyi itu serta-merta.

Selang beberapa bulan menyepi daripada kontroversi dalaman itu, kini Hyper Act tampil menjernihkan keruh keadaan dengan mempertaruhkan single baharu berjudul Takkan Pergi. Secara tidak langsung, single berkenaan simbolik kepada penjenamaan semula Hyper Act.

Ia sekali gus menjadi single pengenalan kepada vokalis baharunya, Kecik, 21, yang dicungkil bakat menerusi program Pencarian Vokalis Hyper Act anjuran Era FM dan program H! Live.

Mewakili kumpulan tersebut, Khairul Nizam atau lebih mesra dibahasakan Toi, pemilihan Kecik selaku vokalis baharu Hyper Act adalah sesuatu yang bertepatan dengan aliran muzik yang dibawa mereka.

“Kriteria pertama yang kami lihat menerusi Kecik adalah nada suara yang dimilikinya. Kami tahu dia ada suara yang sedap dan sesuai dengan lagu-lagu yang kami bawa selama ini.

“Cuma Kecik perlu lebih banyak menggali bakatnya untuk lebih menonjol,” ujar Toi usai pelancaran single terbaharu Hyper Act di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Tambah Toi, meskipun usia Kecik jauh lebih muda berbanding dengan kesemua ahli kumpulan sedia ada, perkara itu bukan halangan untuknya, bahkan jurang itu menjadi peluang memastikan aliran muzik yang dibawa mereka sentiasa diterima peminat.

“Walaupun dia sangat muda untuk diangkat selaku vokalis sesebuah kumpulan tetapi kami percaya bahawa Hyper Act masih mampu berdiri sama seperti mula-mula kami diterima dahulu.

“Kami percaya, kekuatan Hyper Act bersandarkan kepada lagu dan muzik. Jadi, siapa pun yang dipilih menjadi vokalis Hyper Act tidak menjadi persoalan,” jelasnya.

Ironi, lagu Takkan Pergi yang merupakan ciptaan Hyper Act sendiri dan lirik ditulis oleh Frozen merupakan khazanah yang ada dalam fail simpanan lagu kumpulan itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Jelas Toi lagi, lagu tersebut sebenarnya sudah dicipta pada 2005. Namun, susunan muzik lagu berkenaan difikirkan tidak menepati kehendak pasaran muzik pada tahun berkenaan menyebabkan ia terpaksa disimpan.

“Kalau diikutkan, hampir semua lagu Hyper Act pada hari ini dikorek dari peti simpanan kami. Senang cerita, sebenarnya usia lagu-lagu berkenaan sudah berbelas tahun.

“Disebabkan pada waktu itu peminat masih belum terdedah dengan susunan muzik yang kami gunakan, jadi ia dikeluarkan pada masa sekarang memandangkan ia seiring dengan peredaran zaman,” jelasnya.

Lama berdiam, Kecik atau nama sebenarnya, Mohammad Fauzi akhirnya bersuara. Mengakui, awalnya agak gentar untuk memikul tugas sebagai vokalis Hyper Act, sementelah kumpulan yang diasaskan sejak 2009 itu sudah pun gah membina nama dengan untaian lagu hit di segenap corong radio mahupun sebagai OST drama popular.

“Sejujurnya, perjalanan awal dengan kumpulan ini sudah berjalan lancar. Cuma, saya risau memikirkan persepsi peminat yang pastinya akan membanding-bandingkan saya dengan vokalis terdahulu.

“Kalau dibezakan juga, memang saya jauh lebih ‘kecil’ terutama dari segi pengalaman dan pengaruh.

“Apa yang boleh saya katakan, untuk berjuang bersama Hyper Act sebagai sebuah kumpulan akan menuntut kesungguhan yang berterusan. Jadi, saya akan cuba belajar dari semua ahli yang lain secara perlahan-lahan,” ujarnya.

Sebagai informasi, Kecik yang berasal dari Jitra, Kedah itu pernah menjadi penyanyi busking kepada dua buah kumpulan iaitu Rocha dan Ordinan Orkes.

Previous Post Next Post