Zul, Zahirah mula bercinta


ZUL dan Zahirah berjalan beriringan di karpet merah pada Anugerah Skrin 2015 Ahad lalu.

AKHIRNYA, teka-teki perhubungan cinta di antara pelakon Zul Ariffin dan Zahirah MacWilson semakin terungkai apabila Zul sendiri mendedahkan, dia kini sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan pelakon jelita yang sedang meningkat naik itu.

Terhimpit dengan pelbagai kontroversi sejak akhir-akhir ini, api percintaan pasangan itu semakin membara dan kuat dihidu peminat apabila timbul spekulasi, konon-kononnya insiden Zahirah hampir diculik sengaja direka-reka untuk mengaburi mata umum tentang status sebenar perhubungan mereka.

Terdahulu, dua kali isu gambar mesra pasangan itu menjadi viral dan bertebaran di media sosial, pada waktu yang sama ramai tertanya-tanya, sama ada Zul masih lagi memadu kasih dengan teman wanitanya, seorang penerbit filem, Gayatri Su Lin Pillai.

Sempat menemubual hero drama Rindu Awak 200% itu pada malam Anugerah Skrin 2015. Zul menjawab segala spekulasi tentang hubungan cinta dan wanita terkini yang bertakhta di hatinya.

Seperti biasa, biarpun jawapan selamat ‘sedang mengenali hati budi’ yang diberi, daripada situ, mudah umum menilai bahawa Zul dan Zahirah kini, dalam fasa sedang ingin berkasih.


Artis Meletop!: Bagaimana reaksi Zul apabila insiden mendakwa Zahirah cuba diculik di pusat beli-belah The Curve baru-baru ini sebagai kisah rekaan yang sengaja dicipta untuk meredakan kisah percintaan kalian?

Zul Ariffin: Sebenarnya, berlaku salah faham tentang perkara itu. Insiden tersebut memang berlaku, tetapi bukan secara spesifiknya di pusat membeli-belah tersebut. Ia berlaku di kawasan persekitaran tempat berkenaan. Insiden tersebut bukan sengaja direka untuk tujuan tertentu.

Adakah anda memberi nasihat kepada Zahirah mengajarnya bagaimana untuk mendepani isu tersebut dengan bijak?

Sebenarnya saya tidak layak untuk memberi nasihat apatah lagi mengajar orang lain. Dia (Zahirah) berdepan trauma akibat kejadian tersebut. Saya hanya memberi sokongan kepadanya. Tetapi dari pengalaman lalu apa yang boleh saya katakan, saya nasihatkan dia untuk bertahan kerana lambat-laun ia pasti akan berlalu.

Zahirah agak terbuka tentang status hubungan kalian. Daripada mulut anda sendiri pula, apakah status sebenar hubungan kalian?

Jujur saya katakan, kami semakin rapat. Buat masa ini kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Benda ini (perhubungan) kami masih baru. Oleh sebab itu, tidak banyak yang boleh saya kongsi kerana usianya masih baru.

Benarkah anda sudah mula mengenali ibu bapa Zahirah dan mengambil hati mereka untuk menjalinkan hubungan istimewa dengan Zahirah?

Ya, saya sudah mengenali ibu bapa Zahirah dan mereka juga menerima saya dengan baik.

Bagaimana pula hubungan anda dengan Gayatri?

Sebenarnya, hubungan kami sudah putus. Kami sudah lama membawa haluan masing-masing. Apa yang terbaik adalah meneruskan hidup dan pandang ke hadapan. Bagi saya, benda sudah tidak jadi dan saya sedikit segan untuk bercerita lanjut mengenainya.

Sejak bila hubungan anda dengan Gayatri berakhir dan adakah Zahirah menjadi penyebab perpisahan tersebut?

Saya enggan mengulas lanjut tentang hal itu.

Adakah selepas ini anda akan lebih terbuka tentang hubungan anda dan Zahirah?

Apa yang boleh saya katakan, saya akan kongsi dengan khalayak apa yang sepatutnya mereka tahu. Setahu saya, perkara ini semua orang dah tahu. Jadi tiada apa yang hendak saya sembunyikan.

Previous Post Next Post