Almy Nadia tawar hati


Almy Nadia

SEJAK melahirkan anak 16 Februari lalu, kelibat pelakon Almy Nadia di dalam industri seni mula perlahan.

Bukan menolak untuk berlakon, sebaliknya akui pemilik nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, saiz badannya seolah-olah menjadi penghalang buat produksi memberi tawaran lakonan.

Jelas Almy, sejak habis berpantang puteri sulungnya, Nur Afrina Arianna, dia pernah terdengar khabar bahawa pihak produksi bertanya sama ada dia sudah kembali kurus atau tidak.

Dek kerana faktor itu, Almy mengakui hatinya sudah tawar untuk kembali berlakon.

"Tipulah jika saya tidak rindu untuk berlakon semula setelah melahirkan anak. Masa mula-mula dahulu memang rindu, kemudian lepas bersalin ada satu masa saya rindu lagi untuk beraksi.

"Namun setelah beberapa bulan kemudian, masih tiada tawaran di samping terdengar pengarah bertanya sama ada badan saya sudah turun ke belum dan dalam masa sama saya sudah mula berniaga, jadi bagi saya, lebih baik saya teruskan berniaga.


"Rasanya bagi saya berniaga lebih seronok kerana tunggu berapa jam pun di gerai, masih boleh jual barang di samping berpuas hati apabila dapat memberi orang makan.

"Jika ditawarkan berlakon semula, saya perlu lihat juga pada bayaran. Sekiranya penggambaran sembilan hari hanya dibayar RM1,000 atau 2,000, lebih baik saya berniaga," katanya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.

Almy memberitahu, kebanyakan stesen TV sekarang memilih untuk mengambil pelakon baharu walaupun ada antara mereka dilihat tidak pandai untuk berlakon.

"Pelakon baharu boleh dikerah dan dibayar rendah. Lagipun asal muka cantik dan hensem, mudah sahaja mereka berlakon.

"Berbanding ketika kami dahulu ada label tersendiri, jika seseorang artis mahu masuk slot yang best mestilah dibarisi pelakon popular dan terkenal.

"Jika artis itu tiada nama dan baharu, mereka tidak akan di pandang. Namun kini sangat berbeza asalkan ada rupa.

"Oleh itu, pelakon lama seperti saya sudah tidak dipandang produksi dan stesen TV," katanya.

Previous Post Next Post