Black Hanafiah idam anak perempuan


TERUJA menanti anak kedua, Black bakal bergelar mentor dalam Mentor Milenia.

BERGELAR bapa merupakan fasa terindah dalam hidup seorang suami. Fasa tersebut sudah dilalui oleh penyanyi Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah bersama isteri tersayang, Naquia Yasirah Mohd. Khairi sejak lebih setahun lalu. Anak pertama mereka, Khaleef Dayyan kini sudah berusia setahun 10 bulan.

Ternyata rezeki pelantun lagu Mana Mungkin itu untuk menimang seorang lagi permata hati semakin terang apabila isterinya itu disahkan dua hamil anak kedua. Usia kandungan Naquia kini sudah mencecah dua bulan.

Mengakui terkejut dan tidak merancang untuk dikurniakan anak kedua dalam tempoh secepat itu, Black dan isteri melakukan ujian kehamilan sebanyak beberapa kali kerana tidak percaya bakal dikurniakan seorang lagi anak.

Dilimpahi rezeki mencurah, tahun 2015 memberi makna yang begitu signifikan buat Black yang menyifatkan banyak impiannya menjadi kenyataan. Tidak menyangka segala dihajati berjaya dicapai dengan lancar, Black juga bersyukur kerana perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi juga semakin kemas, sementelah kehidupan berkeluarga pula semakin berbunga.

Terbaharu, Black diberi mandat menjadi salah seorang mentor dalam program Mentor Milenia yang bakal disiarkan TV3 tidak lama lagi. Biarpun merasakan masih hijau dalam industri muzik dan terlalu kecil jika dibandingkan penyanyi lain yang pernah bergelar mentor kepada bakat baharu sebelum ini, Black berjanji akan berkongsi segala pengalaman yang telah dikecapi kepada protege di bawahnya kelak.


Artis Meletop!: Tahniah di atas berita kehamilan anak kedua, apa perasaan Black apabila mendapat tahu perkhabaran gembira tersebut?

Black: Alhamdulillah, saya memang tidak mengangka bakal dikurniakan cahaya mata kedua. Jujur saya katakan, saya dan isteri melakukan ujian kehamilan sebanyak dua kali kerana tidak percaya diberikan rezeki begitu pantas. Tambah lagi, kami memang tidak merancang untuk mempunyai anak lagi kerana Dayyan masih kecil. Apa pun, saya dan isteri bersyukur dengan rezeki kurniaan Tuhan ini.

Anda telah mempunyai seorang anak lelaki iaitu Dayyan, bagaimana pula harapan dan jangkaan untuk anak kedua nanti?

Saya sebenarnya tidak kisah, asalkan anak yang bakal dilahirkan nanti sihat dan cukup sifat. Tetapi kalau boleh, saya inginkan anak perempuan pula. Kalau ia jadi kenyataan, maka tercapailah hasrat saya untuk mempunyai sepasang cahaya mata, lelaki dan perempuan. Insya-Allah, isteri dijangka bersalin sekitar bulan Ogos tahun depan.

Sebelum ini anda memilih tidak bersikap terbuka untuk mendedahkan soal anak selepas Dayyan dilahirkan, bagaimana pula dengan anak kedua nanti?

Saya akui sewaktu Dayyan dilahirkan, saya bersikap terlalu protektif untuk tidak terlalu mendedahkannya kepada umum. Waktu itu saya masih lagi belajar untuk menjadi bapa. Insya-Allah, untuk anak kedua nanti saya akan bersikap lebih terbuka tetapi bersesuaian dengan keadaan. Saya tidak akan menolak apabila orang mahu melihat anak saya kerana saya percaya mereka akan mendoakan yang baik-baik untuknya, sekali gus akan memberi kebaikan kepada anak saya juga.

Bagaimana dengan keadaan isteri anda, adakah dia mengalami apa-apa alahan ketika ini?

Alhamdulillah, keadaan dia okey sahaja setakat ini. Ketika hamil pertama dahulu, pada tiga bulan pertama dia sangat letih dan asyik berbaring sahaja. Untuk anak kedua ini, saya perasan dia lebih santai berbanding dahulu. Selain itu, dia mengidam makanan yang tidak pernah dimakan sebelum ini seperti sate ikan. Sebagai suami, saya akan cuba menuruti permintaan dan menjaganya sebaik mungkin sehingga anak kedua selamat dilahirkan.

Bagaimana pula dengan reaksi atau penerimaan Dayyan tentang ketibaan adik baharu nanti?

Dia masih kecil. Cuma, saya dan isteri sudah biasakan dia dengan panggilan abang. Misalnya, apabila kami memanggilnya dengan panggilan sedemikian, dia akan menoleh.

Beralih kepada soal kerjaya. Anda akan terlibat dalam program realiti Mentor Milenia, bagaimana dengan persediaan memandangkan anda masih lagi baharu dalam industri tetapi diberi kepercayaan sebesar itu?

Saya akui tanggungjawab sebagai mentor sesuatu yang berat buat saya. Tetapi, saya akan cuba sebaik mungkin untuk menggilap bakat-bakat muda yang ada. Sebelum ini, saya pernah berada dalam pertandingan tersebut sebagai peserta dan saya rasa banyak yang perlu saya kongsi dengan anak-anak muda berbakat di luar sana.

Apa kriteria yang dicari untuk bergelar protege kepada anda?

Apa yang penting ialah bakat. Rupa paras tidak menjadi satu masalah kepada saya. Sebelum berada pada tahap sekarang, banyak yang telah saya tempuhi. Dahulu, sebelum bergelar artis, saya tidak tahu apa-apa, selekeh dan sebagainya. Justeru, dengan adanya program ini, saya berharap nasib anak muda berbakat besar di luar sana juga akan berubah ke arah yang lebih positif. Insya-Allah.

Bagaimana pula dengan perkembangan seni yang lain?

Album kedua saya akan dilancarkan akhir bulan ini. Ia mengandungi enam buah lagu termasuk beberapa single sebelum ini seperti Teman Pengganti dan Mana Mungkin.

Previous Post Next Post