Fanatik, tabiat Edry


EDRY memiliki tabiat memintal dan mencabut rambut sejak kecil.

SIAPA yang tidak mengenali Edry? Resume yang dimiliki pemilik nama sebenar Edry Abdul Halim, 39, ini cukup memukau sejak lebih dua dasawarsa lalu.

Kejayaan demi kejayaan memenuhi rak-rak kehidupan Edry sepanjang menjadi artis, pengarah, penerbit mahupun komposer selama ini.

Diiktiraf buat kali kedua sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2015 baru-baru ini juga bukan alasan untuk beliau mendabik dada.

“Ia satu bonus buat saya apabila mendapat penghargaan dalam kalangan komposer yang saya kagumi selama ini.

“Justeru, saya berharap agar dapat mengekalkan prestasi seperti ini dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya kepada Sensasi Bintang.


Ungkap Edry, dia berdepan cabaran untuk memahami kehendak dan cerita sepanjang menjadi komposer selama ini.

“Berbanding ketika bersama KRU dan Mojo, ia sememangnya memiliki konsep tersendiri. Mujurlah saya jenis suka bergaul dan belajar dengan orang lain supaya mampu bercerita dalam setiap lagu yang dihasilkan.

“Destinasi cinta yang saya miliki lebih stabil terutamanya apabila sudah memiliki isteri dan anak-anak, jadi perlu sentiasa belajar dengan orang lain terutamanya ketika menghasilkan lagu-lagu berunsur cinta," ceritanya lagi.

Menjelang ulang tahun yang ke-25 KRU pada 2017, Edry bersama abangnya iaitu Norman dan Yusry juga memiliki perancangan termasuk tampil dengan album baharu yang dijangka dilancarkan sekitar tahun depan.

“Kami juga bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Hingga Ke Jannah dalam masa terdekat. Lagu itu menunjukkan kematangan KRU serta mengisahkan mengenai kematangan cinta yang agung bukan saja kepada pasangan, malahan demi keluarga," ujarnya.

Menyentuh mengenai kumpulan Mojo, Edry memberitahu, buat masa ini mereka sedang menjalankan promosi terutamanya dengan kehadiran vokalis utama dari Indonesia, Ryan Brakhma.

“Saya percaya sudah tiba masanya tugas sebagai jurucakap Mojo kini perlu digalas Ryan sebagai ‘orang kuat’.

“Buat masa ini, kami sedang giat mempromosikan lagu-lagu yang terkandung dalam album Mojo sebelum cuba mengintai peluang melebarkan sayap ke Indonesia," ungkapnya.

Previous Post Next Post