Farid Kamil: Nur Aurora anugerah terhebat


KEHIDUPAN Farid sekeluarga kini tambah meriah dengan kehadiran anak keduanya, Nur Aurora.

RASANYA masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada pasangan selebriti, Farid Kamil, 34, dan isteri, Diana Danielle, 24, yang baru sahaja menimang cahaya mata kedua diberi nama Nur Aurora pada 19 November lalu di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Manariknya, Nur Aurora selamat dilahirkan menggunakan teknik bersalin dalam air dengan berat badan 3.29 kilogram pada pukul 4.05 pagi. Merupakan permata kedua Farid dan Diana selepas Muhammad yang kini berusia dua tahun, Nur Aurora melengkapkan impian pasangan tersebut untuk memiliki sepasang cahaya mata, lelaki dan perempuan.

Menyifatkan Nur Aurora sebagai anugerah terindah dan terhebat yang dikurniakan Tuhan dalam hidupnya dan isteri, Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari berkongsi keterujaannya bergelar bapa buat kali kedua di samping bercerita mengenai kelangsungan kerjaya seninya bersama media pada sidang akhbar filem Langit Cinta di ibu negara baru-baru ini.


KOSMO!: Boleh Farid kongsikan sedikit bagaimana boleh mendapat ilham menamakan anak anda sebagai Nor Aurora?

FARID KAMIL: Sebenarnya, saya dan isteri bersama-sama pilih nama dengan mencari maksud yang sesuai. Memandangkan bayi dilahirkan pada waktu subuh, jadi kami memilih nama Nur Aurora yang bermaksud cahaya fajar, sesuai dengan detik kelahirannya. Sememangnya, saya bersyukur dengan kehadiran Aurora dan kami bersemangat untuk menguruskannya. Ia akan menjadi suatu pengalaman baharu yang indah buat saya dan isteri.

Boleh ceritakan pengalaman anda atau isteri yang melahirkan bayi menggunakan teknik bersalin dalam air?

Saya memberi sokongan kepada Dee (panggilan manja buat Diana) untuk bersalin menggunakan teknik tersebut disebabkan kesan-kesan yang positif saya nampak. Dee kelihatan lebih mudah untuk bersalin, kurang kesakitan dan kesan sampingan yang biasanya berlaku terhadap ibu yang baru bersalin. Di Malaysia, keadaan melahirkan bayi menggunakan teknik sedemikian agak berbeza. Tub yang disediakan hanya muat untuk ibu yang bersalin. Kalau boleh memang saya ingin berada dalam air tetapi tidak dibenarkan. Bagaimanapun, ia satu pengalaman baharu yang sangat berharga buat saya dan isteri.

Sebelum ini, ketika Muhammad dilahirkan anda dan isteri bersifat tidak terlalu terbuka soal gambar anak. Bagaimana pula dengan Nur Aurora?

Apabila sudah sampai waktunya nanti kami akan berkongsi gambarnya secara terbuka. Kami tidak akan menyembunyikannya. Apa yang penting buat masa ini adalah proses penyembuhan Dee. Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan dedahkan wajah Aurora.

Bagaimana pula dengan reaksi Muhammad setelah mendapat adik baharu?

Sebenarnya, Muhammad telah diberi pendedahan bahawa dia akan mendapat seorang adik. Cuma pada hari pertama Nur Aurora dilahirkan, dia ada mempersoalkan keadaan perut ibunya yang tidak lagi mengandung (ketawa). Tambah lagi, dia sudah biasa membahasakan dirinya sebagai ‘abang’. Harap situasi akan menjadi lebih mudah selepas ini.

Bagaimana perasaan anda terhadap Nur Aurora memandangkan anak pertama, Muhammad merupakan seorang lelaki. Barangkali ada perbezaan untuk dikongsi mengenainya?

Saya sangat bersyukur dengan kehadiran Nur Aurora. Selepas ini segalanya akan berganda. Saya dan isteri bersedia untuk bangun pada lewat malam, berdepan dengan fenomena tidak tidur malam dan sebagainya. Tambah lagi, Nur Aurora merupakan bayi perempuan, penjagaannya mungkin berbeza berbanding Muhammad dahulu. Jadi, kami akan bersama-sama menguruskannya sebaik mungkin.

Adakah anda akan mengambil khidmat pengasuh untuk menjaga atau membesarkan anak-anak?

Kami memang ada pengasuh, tetapi dalam soal penjagaan anak-anak, kami tidak berani untuk meletakkan sepenuhnya anak kepada pengasuh. Walau sibuk macam mana sekalipun, kami akan menjaga dan membesarkan anak-anak dengan tangan kami sendiri. Itu yang terbaik.

Bercakap mengenai kerjaya seni, difahamkan, kontrak anda dengan syarikat MIG Production Sdn. Bhd. akan tamat selepas 17 tahun. Boleh bercerita lanjut tentang hal itu?

Kontrak dengan MIG akan tamat akhir tahun ini. Buat masa ini, belum ada perancangan menyambungnya memandangkan saya sedang sibuk mengumpulkan naskhah terbaik untuk aktif semula bekerja di belakang tabir. Sudah sampai waktunya untuk saya bergerak sendiri dan berdikari. David Teo sendiri banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar kepada saya.

Saya juga akan memberi fokus kepada syarikat sendiri iaitu Skygate One Sdn. Bhd. yang telah setahun beroperasi Untuk tahun 2016, saya akan cuba seimbangkan kerja lakonan dan pengarahan.

Previous Post Next Post