Terima kasih pahlawan komedi (Yus Jambu)


PENTAS TERAKHIR - Gambar ini dipercayai dirakam satu atau dua jam sebelum Yus Jambu meninggalkan alam fana. Ketika itu Yus sedang menjayakan Konsert Raja Band di Dataran Merdeka, Ahad lalu.

MERAH jambu dan lawak selamba tidak dapat dipisahkan daripada lelaki bernama Yussry Edoo. Jika lelaki lain berasa janggal menyarungkan pakaian berwarna merah jambu, lain pula halnya dengan Yussry atau nama pentasnya Yus Jambu. Warna tersebut merupakan identitinya setiap kali melakukan persembahan pentas bersama Tauke dalam kumpulan Jambu sejak jenama itu diperkenalkan dalam Maharaja Lawak musim pertama pada 2011.

Jauh bertentangan dengan sifat lelaki dan lawak sinikal mereka, keserasian warna feminin dengan dua pelawak yang pernah kontang tawaran kerja itu meledakkan Yus dan Tauke sebagai penghibur yang begitu manis di jiwa khalayak.

Dengan ungkapan seperti ‘muka lejen hati cute’, ‘apa pun tak boleh’, ‘yaya tore’, ‘kicap nak’, ‘nak tuju lagu’ dan ‘kita enjoy’, duo Jambu pasti menghiburkan biarpun adakala jenaka mereka hanya difahami sesetengah penonton.

Bagaimanapun, lelucon bekas juara Raja Lawak musim pertama itu kini tinggal kenangan. Tanpa sebarang petanda, selepas mengadakan persembahan pada Konsert Raja Band di Dataran Merdeka Ahad lalu, Yus mengejutkan seluruh isi industri hiburan apabila disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang, Selangor kerana sesak nafas.

Tiada ucapan selamat tinggal, hanya tangisan keluarga dan rakan-rakan yang memenuhi perkarangan hospital mengiringi pemergiannya pada usia 39 tahun.

Paling terkesan dengan pemergiannya sudah tentu Tauke yang merupakan rakan seperjuangan dalam Jambu dan hubungan mereka boleh dianggap seperti adik-beradik. Selama lapan tahun bersahabat ketika sama-sama terlibat dalam program Raja Lawak pada 2007 dan bertatih dengan kumpulan Jambu membina nama, Tauke tidak menyangka akan ditinggalkan Yus secepat ini.

Meskipun reda dengan ketentuan Allah, namun Tauke masih tidak percaya Yus telah tiada. Katanya, sepatutnya mereka akan bertemu semalam (Isnin) untuk berbincang tentang persembahan dalam program Juara Parodi yang bersiaran secara langsung setiap Jumaat. Dalam program tersebut mereka bersama sebagai Kobis Pedas bergandingan dengan penyanyi Misha Omar.


“Saya dapat panggilan daripada pengurus peribadinya dan bergegas ke hospital. Ketika sampai di hospital arwah disahkan telah meninggal dunia. Disebabkan ingin kepastian, saya bertanyakan soalan sama sehingga enam kepada doktor, betulkah arwah sudah meninggal?

“Tidak sangka Jumaat lalu merupakan pertemuan dan persembahan terakhir saya bersamanya di pentas Juara Parodi. Sepatutnya pada hari Isnin (semalam) kami bertemu untuk berbincang tentang idea persembahan Juara Parodi. Saya tidak boleh buat apa, Allah lebih sayangkan dia,” getus Tauke.

Tauke juga sedia maklum bahawa arwah menghidap penyakit seperti kencing manis, asma dan jantung. Bagaimanapun, tiga tahun kebelakangan ini, penyakitnya terkawal selepas arwah mengamalkan pemakanan sihat.

Tanpa Yus, Tauke ibarat kehilangan separuh jiwa. Semangatnya runtuh untuk meneruskan perjuangan dalam Juara Parodi.

“Saya tiada semangat. Sukar untuk percaya yang dia telah tiada. Rasa macam baru sahaja berbual dengannya menerusi WhatsApp mengenai idea persembahan. Patutlah persembahan terakhirnya di Juara Parodi begitu meletup dan auranya lain macam. Dia sangat menonjol, namun saya tidak rasa apa-apa yang pelik, rupa-rupanya itulah petanda dia hendak pergi.

“Tentang perjuangan dalam Juara Parodi, mungkin saya ingin berehat seketika. Saya tidak boleh meneruskan perjuangan tanpa Yus di sisi.

“Sekarang, sedih macam mana pun saya harus terima kenyataan Allah lebih sayangkan dia. Saya minta rakan-rakan dan peminat sedekahkan Al-Fatihah kepada rohnya,” tutur Tauke.

Sementara itu, penyanyi Misha Omar yang merupakan sekutunya dalam Juara Parodi turut bersedih dengan pemergian tidak dijangka itu. Masih basah dalam ingatannya usikan dan jenaka arwah. Bahkan sebulan menyatu sebagai Kobis Pedas, keakraban mereka seperti sebuah keluarga.


RINDU - Yus buat pertama kali berkongsi gambar kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia dalam Instagramnya sekitar dua bulan lalu.

Menyifatkan arwah sebagai rakan yang baik, pemurah dan penyayang, Misha bersyukur kerana Allah pinjamkan seorang yang sering menceriakan hari-harinya walaupun untuk seketika.

“Saya terkejut sebanyak dua kali. Kali pertama apabila diberitahu bahawa arwah dalam ICU dan selang beberapa minit, arwah telah meninggal. Saya tidak boleh berfikir dan sepanjang malam tidak boleh tidur kerana masih tidak percaya dengan berita tersebut.

“Arwah sangat baik dan sering memberi nasihat terutamanya tentang kesihatan. Cuma ketika latihan terakhir untuk Juara Parodi minggu lalu, arwah ada mengadu letih. Tidak sangka pula itu petanda yang arwah akan pergi. Biarlah arwah berehat dengan tenang di sana,” kata Misha.

Dalam pada itu penyanyi Akim yang turut menghadiri pengebumian arwah di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam Bintong, Kangar, Perlis semalam, turut terkejut sebaik mendapat berita pemergian pelawak popular itu.

Menganggap arwah seperti seorang abang, Akim meluahkan rasa ralat apabila tidak sempat berjumpa dengan pelawak itu buat kali terakhir semasa hayatnya ada.

“Saya rapat dengan arwah sejak 2013 apabila terlibat dalam pasukan bola sepak Super FC. Dia merupakan kapten pasukan dan seperti abang. Walaupun nampak garang tetapi orangnya sangat baik.

“Cuma saya terkilan kerana beberapa hari sebelum arwah meninggal, dia ada tegur di Instagram. Katanya rindu dan mahu berjumpa, tetapi hasratnya tidak tercapai kerana jadual saya sibuk. Jadi, saya hadir ke pengebumiannya sebagai penghormatan terakhir buat arwah,” luah Akim dalam nada sedih.

Pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus cukup terkejut apabila menerima perkhabaran tersebut menerusi panggilan telefon daripada Jep Sepahtu sekitar pukul 12.47 pagi kelmarin. Masih terbayang di memorinya. Kali terakhir mereka bertemu pada bulan lepas semasa menjalani penggambaran telefilem berjudul Che Pa dan filem Dukun Doktor Dani arahan Sabri sendiri.

Hubungan akrab mereka bermula sewaktu Sabri menjadi mentornya dalam Raja Lawak pada 2007. Disebabkan latar belakang arwah aktif berteater dan minat dalam seni budaya, persamaan alirannya dengan Sabri mewujudkan keserasian antara mereka.

“Saya bertemu arwah buat kali pertama ketika uji bakat Raja Lawak di Pulau Pinang. Saya pilihnya kerana arwah buat lawak tentang seni iaitu wayang kulit. Selepas itu kami menjadi rapat apabila arwah menjadi pelawak bawah pemantauan saya.

“Tidak sangka drama Che Pa merupakan kerjasama terakhir bersamanya. Untuk drama itu, saya tidak tawarkan arwah watak komedi kerana dia memiliki bakat lakonan yang besar,” kata Sabri yang selama ini menjadikan Yus sebagai antara pelakon tetapnya dalam Karoot Komedia dan Komedia X.

Tambahnya, tahap kesihatan arwah ketika menjalani penggambaran di Perlis pada bulan lalu sangat baik. Arwah tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda tidak sihat walaupun sejarah kesihatannya diketahui ramai.

Seorang lagi sahabat seperjuangan dunia lawak,pengacara dan pelakon Nabil memberitahu, dia sempat menziarahi, memandikan dan mengkafankan jenazah semasa berada di hospital.

Nabil menganggap itu semua sebagai bakti terakhir buat sahabat yang disayanginya. Bukan Nabil seorang, bahkan seluruh industri dan peminat meratapi kehilangan Yus Jambu.

Previous Post Next Post