Fasha ada beri petunjuk hubungan retak


BARANGKALI berita perkhabaran yang mendakwa rumah tangga pelakon terkenal tanah air, Fasha Sandha sedang bergolak antara yang hangat diperkatakan minggu ini.

Tatkala berita Fasha yang dikatakan ada berkunjung ke sebuah pejabat agama yang dilaporkan sebuah portal berita Jumaat lalu, semestinya Fasha menjadi tumpuan umum. Bukan sahaja dalam kalangan pengamal media, tetapi juga dalam kalangan peminat tersendiri.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada lagi sebarang kenyataan yang keluar daripada mulut si empunya badan bagi mengesahkan perkhabaran dakwaan pergolakan rumah tangganya.

Fasha juga dilihat seolah-olah lebih selesa untuk mengambil pendekatan berdiam diri biarpun telefonnya barangkali menerima panggilan tidak henti-henti.

Sungguh pun begitu, dua hari sebelum berita rumah tangganya dikatakan telah goyah, Fasha sebenarnya terlebih dulu bagaikan sudah memberikan gambaran mengenai apa yang sedang dilaluinya itu.

Bagi yang membaca sekali imbas, mungkin ada yang beranggapan perkongsian foto yang dikongsi pelakon berusia 31 tahun itu sekadar untuk renungan bersama. Bagaimanapun, foto yang memuat naik kata-kata seorang penceramah terkenal mengenai jodoh menguatkan lagi dengan apa yang dihadapi ibu kepada dua cahaya mata itu.


Kata-kata itu berbunyi: “Jodoh ditentukan oleh Allah sewaktu kita berumur empat bulan di dalam kandungan ibu." Pada masa sama, ia turut disertakan dengan kapsyen Fasha yang membuatkan mereka yang membacanya mungkin tertanya-tanya apa yang sudah berlaku.

“Semoga Allah memberikan kekuatan yang sepenuhnya buat saya dan anak-anak untuk mengharungi segala-galanya. Amin," tulisnya.

Apa yang pasti, ramai yang memberikan pelbagai reaksi ke atas foto tersebut. Biarpun Fasha tidak ada memberi sebarang kata balas, peminat setianya tetap menyatakan sokongan ke atas pelakon filem Nana Tanjung itu.

“Bertahanlah dengan suami dan anak-anak. Merekalah nyawa Fasha sekarang. Biar ada yang tidak suka atau iri hati, Fasha kena kuat semangat, jangan berpisah hanya kerana kata-kata nista orang luar, saya doakan Fasha bahagia sampai bila-bila," tulis salah seorang pengikutnya.

Tidak terhenti di situ, Fasha juga dilihat memuat naik kapsyen berunsur kesedihan apabila dia juga memuat naik emotikon hati retak. Imej itu secara tidak langsung menggambarkan betapa remuk hati Fasha sekarang ini. Mungkin, ada satu rasa yang cukup berat perlu ditanggung pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan itu.

Antara yang mencuri tumpuan juga, perceraian yang dikatakan disebabkan oleh permasalahan yang timbul dalam kalangan keluarga mertua Fasha itu juga antara yang dibincangkan dalam komen Fasha. Difahamkan, ada orang dalam yang cuba menyalakan api dalam hubungan Fasha dan suaminya, Rizal Ashram Ramli, 38, atau lebih dikenali dengan panggilan Jejai. Komen-komen itu sekali gus menguatkan lagi dakwaan laporan portal yang membangkitkan isu masalah dengan keluarga mertua.

Sejauh mana kebenaran itu, hanya Fasha yang mampu menjawabnya. Apa yang pasti, masih ramai yang mahu melihat mahligai Fasha dan Jejai yang dibina lebih tiga tahun lalu itu terus kekal bertahan.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan tersebut dikurniakan dua orang cahaya mata, Putra Rayfal, 2, dan Putri Raysha Jemyma yang berumur setahun. Sebelum itu, Jejai pernah berkahwin dengan pelakon Nora Danish pada 2006 dan bercerai pada Julai 2008.

Previous Post Next Post