LAZIMNYA menjadi seorang selebriti pasti tidak akan lari dengan pelbagai kritikan ke atas diri mereka, terutama dari segi kualiti lakonan.
Pelakon, Fathia Latiff juga tidak terkecuali menerima pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak terhadap lakonannya.
Terbaharu, pelakon ini telah dibandingkan lakonannya dalam drama Diandra dengan pelakon Zara Zya dalam drama Tuan Anas Mikail yang menggalas tugas menjadi pembantu kepada watak utamanya.
Selain itu, sebelum ini juga dalam menjayakan watak teater Bidasari, Fathia turut tidak terlepas daripada dikritik mengenai lakonannya.
Bagaimanapun Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff memberitahu, yang dirinya tidak terkesan dengan sebarang kritikan terhadap dirinya.
“Selama ini, apa sahaja kritikan sebenarnya tidak beri kesan kepada saya. Jika komen itu boleh buatkan saya berasa negatif, lebih baik saya biarkan.
“Saya tidak akan baca atau dengar komen itu,” katanya kepada Zass.
Tambahnya, sebagai selebriti, segala komen atau kritikan yang diterima tidak akan dipadamnya.
“Jadi kamu (pengkritik) cakaplah seorang-seorang di ruangan itu. Kerana apa sahaja benda negatif tidak akan memberi kesan kepada saya.
“Walau apa saya lakukan, jika mereka tidak suka, mereka tetap tidak suka. Jadi lebih baik saya jadi diri saya dan tingkatkan lagi diri saya,” katanya.