Hilang suara, Farahdhiya hampir tarik diri #GegarVaganza


PATAH sayap bertongkat paruh. Itu azam Farahdhiya demi menjayakan persembahan menjelang final Gegar Vaganza 2, Ahad ini.

PENONTON setia program Gegar Vaganza musim kedua (GV2), pastinya sedia maklum tentang kehandalan penyanyi berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Farahdhiya Mohd. Amin sepanjang tujuh konsert mingguan sehinggalah sesuatu mengganggu pada peringkat separuh akhir minggu lalu.

Sebelum ini, berilah apa sahaja genre lagu kepadanya, penyanyi berusia 31 tahun itu akan menjayakannya dengan penuh kesungguhan dan memikat hati juri serta peminat yang hadir. Dia malah sentiasa menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik.

Namun, pada pentas separuh akhir yang berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ahad lalu, persembahan Farahdhiya boleh dikatakan yang paling teruk sepanjang pertandingan.

Natijahnya, dia jatuh terperosok hingga ke tangga dua terbawah. Namun, nasib masih menyebelahi Farahdhiya kerana para juri masih menaruh kepercayaan terhadapnya, sekali gus memaksa peserta senior, Azian Mazwan Safwan pulang berputih mata.


Artis Meletop!: Boleh ceritakan sedikit apa sebenarnya yang terjadi terhadap nyanyian anda semasa menyanyi lagu Kau Kunci Cinta Di Dalam Hatimu pada pentas separuh akhir?

FARAHDHIYA: Terus terang saya cakap, jika bukan kerana Datuk Ramli MS (juri tetap) yang memujuk, mungkin saya sudah menarik diri sebelum bertanding. Sebenarnya sejak persembahan minggu lalu, saya kerap batuk dan tekak terasa gatal. Saya sudah pergi berjumpa dua orang pakar dan berhabis banyak wang kerana mahu mengelakkan keadaan menjadi teruk. Sehari sebelum pertandingan, suara saya semakin pulih dan saya sudah yakin boleh menyanyi dengan baik. Tetapi dugaan berlaku, pada pagi hari persembahan, suara saya hilang terus dan langsung tidak boleh menyanyi.

Apakah perasaan anda apabila menyedari situasi kritikal tersebut?

Demi Allah, memang saya gelabah dan mula seram sejuk kerana sehari sebelum itu, suara saya sudah pulih dan menjalani raptai seperti biasa. Saya cuba juga untuk menyanyi di rumah sebelum ke tempat latihan tetapi memang suara saya tidak mencapai nada yang ditetapkan. Pada masa itu, saya berkata pada diri sendiri, apa guna saya bertanding jika tidak mampu. Saya tidak mahu memalukan diri sendiri menyanyi dengan suara yang hilang.

Apakah yang membuatkan anda berubah fikiran untuk terus berjuang?

Sewaktu menjalani sesi latihan terakhir kira-kira pukul 5 petang (Ahad lalu), saya sudah hilang keyakinan diri dan berasa tidak bersedia untuk bertanding. Saya ada memberitahu Ramli, jika memang tiada apa yang boleh dilakukan, lebih baik saya tarik diri sahaja. Tetapi dia menegah dan berkata akan mengubah sedikit susunan lagu mengikut kemampuan suara saya pada ketika itu. Pada mulanya saya risau lagu akan kedengaran sumbang, tetapi Ramli berkata tidak mengapa, sekurang-kurangnya orang tahu tekak saya sakit.

Adakah kedudukan dua tercorot sudah dijangka?

Saya tidak terkejut kerana berdasarkan apa yang dipersembahkan pada malam itu, ia bukan yang terbaik pernah saya lakukan. Saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, kerana apa yang penting saya telah cuba sedaya upaya.

Bagaimana dengan perancangan untuk menyiapkan diri menghadapi pentas akhir minggu hadapan?

Saya berharap peminat akan mendoakan kesihatan saya kerana itu yang paling penting untuk menjayakan sesebuah persembahan. Praktis itu perlu cuma jika badan tidak sihat, ia akan mengganggu keseluruhan perancangan dan saya pasti tidak bersemangat menjayakan tugasan sebaik mungkin. Kalah menang adat pertandingan, saya akan lakukan apa sahaja yang boleh diusahakan. Selebihnya terserah kepada Allah.

Previous Post Next Post