Nabil Ahmad galak anak jadi artis


MELIHAT anak sulungnya tampil dalam sebuah siri animasi kanak-kanak, pelakon dan pelawak, Nabil Ahmad menyifatkannya sebagai satu pengalaman menarik untuk dikongsi bersama.

Malah, secara tidak langsung ia turut memberi pendedahan buat Naira Mikayla (Mika) yang kini berusia tiga tahun kepada dunia kerjaya seninya.

“Awalnya, saya agak risau kerana takut Mika akan menyusahkan produksi. Lagipun, dalam usianya yang baru tiga tahun, bukanlah mudah untuknya mendengar sesuatu arahan.

“Alhamdulillah, walaupun baru pertama kali muncul di kaca televisyen, Mika berjaya melakukan tugasnya dengan baik.

“Pada masa sama, saya juga mahu Mika bergaul dengan kawan-kawan lain sekali gus mengetahui bidang yang menjadi sumber pendapatan ayahnya.

“Bukan itu saja, saya juga mahu membiasakan Mika dengan persekitaran kerja saya,” katanya kepada media selepas pelancaran dan sidang media siri animasi Didi & Friends, baru-baru ini.

Pelawak berusia 32 tahun itu memberitahu, Mika terlibat dalam sebuah video klip berjudul Pokok Mulberry untuk siri animasi kanak-kanak itu di samping Noah Ismail Wong, anak kepada Yasmin Hani dan Bella Valentina yang merupakan anak angkat Stacy.


“Selepas tampil dalam klip video itu, Mika semakin menunjukkan minat terhadap penglibatan di hadapan kamera.

“Saya tidak kisah kalau dia nak jadi artis, malah saya galakkan jika itu minat dia. Tapi yang penting pelajaran kena diutamakan.

“Saya kagum dengan pelakon Puteri Balqis dan kalau boleh saya mahu anak saya bijak macam pelakon itu apabila besar nanti,” katanya.

Siri animasi kanak-kanak, Didi & Friends disiarkan di Astro Ceria saluran 611 mulai 8 Disember 2015.

Lawak kasar?

Dalam pada itu, Nabil mengakui rancangan Gegar Vaganza 2 telah meletakkan namanya sebaris dengan pengacara popular yang lain dalam bidang pengacaraan.

Meskipun lawak jenakanya dan pasangan pengacaranya, Jihan Muse dilihat agak kasar dan menyentuh sensitiviti, namun sebenarnya ia sudah dirancang serta diatur terlebih awal oleh produksi.

“Bukanlah mudah untuk mengacarakan sesuatu program yang mampu mencetuskan fenomena. Oleh itu, produksi memberi kebebasan dalam mencorakkan jenaka.

“Contohnya, mengenai usikan terhadap Datuk Ramli MS dan Farahdhiya. Semua itu sudah dirancang, bahkan kami juga mengadakan sesi latihan.

“Tujuannya adalah untuk menjadikan program itu bertambah menarik sekali gus penonton akan kekal mengikut pada minggu-minggu seterusnya,” katanya.

Pun begitu, pelakon filem Sifu & Tongga ini tetap menyatakan kerisauannya setiap kali mempersembahkan lawak sebegitu lebih-lebih lagi selepas banyak menerima kritikan pedas.

Oleh itu, pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad ini meminta untuk tidak terlalu keterlaluan pada minggu ketiga, namun program tersebut menjadi hambar dan tidak meriah.

“Ketika awal-awal kena kecam dengan orang ramai, saya juga tidak tahan dan minta untuk ‘tone down’ sedikit pada minggu ketiga.

“Namun, selepas tamat rancangan itu, saya dapat maklum balas yang kebanyakannya tidak suka dan mahu saya jadi diri sendiri.

“Malah, ada pula yang meminta agar saya kembali berjenaka seperti sebelum ini,” katanya yang sudah lali dengan kritikan.

Previous Post Next Post