Siti Nordiana dinobatkan juara ‪#‎GegarVaganza‬ 2


PENYANYI Siti Nordiana dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim kedua (GV2) yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Penyanyi berusia 31 tahun itu berjaya menewaskan lima peserta akhir lain sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM100,000, sebuah trofi, single baru terbitan Astro dan pakej percutian ke Madrid, Sepanyol bernilai RM30,000.

Penyanyi itu memberikan persembahan mantap menerusi lagu Putus Terpaksa (nyanyian asal Ziana Zain) dan Awak Kat Mane (Taufik Batisah) di pusingan 'battle' dengan Acong (SweetChild).

Lebih manis, penyanyi yang berasal dari Seremban itu turut memenangi persembahan terbaik pilihan penonton sekali gus menerima wang tunai RM5,000.

"Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua, keluarga, peminat dan juri kerana menyokong saya sehingga ke hari ini," katanya.

Dalam pada itu, tempat kedua dimenangi oleh Farahdhiya dengan membawa pulang wang tunai RM50,000 manakala Ezad Lazim pula memperolehi tempat ketiga, menerima wang tunai RM30,000.


Penyanyi Nassier Wahab pula mendapat tempat keempat dan menerima wang tunai RM15,000 dan tempat kelima dimenangi Acong (Sweet Child) membawa pulang RM10,000.

Walaupun berada di tempat akhir, Haiza tetap membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Kesemua peserta turut menerima trofi dan pakej percutian masing-masing.

Hadiah disampaikan pengasas Pamoga Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Vida, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli.

Kesemua persembahan mereka diadili oleh dua juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan dua juri jemputan Datuk Rosyam Nor dan Datuk Jamal Abdillah.

Konsert akhir itu turut dimeriahkan oleh Jamal, Ayai (Illusi), Awi Rafael, Zamani dan Nash yang tampil selaku artis undangan.

Pertandingan tersebut turut menyaksikan persaingan enam penyanyi lain yang tersingkir awal iaitu Ezlynn, Zul (Handy Black), Sheeda, Amir (U'kays), Nizam (Laksamana) dan Azian Mazwan Sapuwan.

GV2 mula bersiaran pada 18 Oktober lalu dihoskan oleh dua pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse selama sembilan minggu.

Ia turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Previous Post Next Post