Penantian bahagia Hanez Suraya terganggu


HANEZ masih merahsiakan jantina anak dalam kandungannya.

MELEWATI fasa bahagia berumah tangga dan menghitung detik indah bergelar ibu, naluri kewanitaan Hanez Suraya terusik apabila dituduh menjadi dalang putusnya hubungan silaturahim seorang ibu dan anak-anak.

Tidak pernah terdetik dalam hati Hanez untuk bersikap kejam. Wanita berusia 30 tahun itu menahan sebak menepis tohmahan bekas isteri pertama suaminya, Nurliyana Abd. Manan yang mengatakan dia tidak membenarkan wanita tersebut bertemu dengan dua cahaya matanya, Putra Adreeshah, 9, dan Putra Rayqarishah, 3.

Meskipun lahir bukan daripada darah daging sendiri, Hanez sedikit pun tidak membezakan zuriat suaminya, Romie Razin Adilha Abdul Jais bersama Liyana, sementelah sedar diri statusnya sebagai ibu tiri.

Berusaha menahan air mata daripada menitis, Hanez nyata gagal memendam rasa kecewa mendengar perkhabaran kurang enak yang menjadi viral sekali gus bertebaran di internet.

Mengakui sedikit tertekan, dalam nada suara yang teresak-esak Hanez berusaha mempertahankan dirinya daripada terus menjadi bahan fitnah.

Bagaimanapun, masih ada tawa dalam tangisan pelakon filem Bicara Hati itu saat ditebak mengenai perkembangan kandungannya yang kini memasuki usia 37 minggu.


Artis Meletop!: Bagaimanakah penerimaan Hanez apabila dituduh sebagai penghalang kepada hubungan antara dua anak tiri bersama ibu kandung mereka?

Hanez: Sejujurnya saya berasa kecewa dan tidak menyangka perkara sebegitu akan berlaku. Namun, biar dituduh dengan pelbagai tohmahan saya tetap bersabar. Bagaimanapun keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan emosi berikutan saya kini sedang hamil 37 minggu. Tambahan, perkara itu adalah lebih baik ditanyakan sendiri kepada Liyana mengapa dia bertindak sebegitu.

Bercerita mengenai kehamilan anda, bolehkah kongsikan sedikit keadaan sekarang?

Alhamdulillah. Saya bersyukur sepanjang tempoh kehamilan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan mahupun alahan. Malah, perubahan ketara berlaku apabila selera makan saya semakin bertambah.

Sepanjang tempoh kehamilan adakah anda mengamalkan sebarang petua untuk mengekalkan kesihatan kandungan?

Saya mengamalkan petua banyak minum air kelapa dara dan kacang soya. Kata orang, kedua-dua minuman tersebut tidak hanya baik untuk bayi yang bakal dilahirkan agar memiliki kulit yang putih dan bersih. Malah, kandungan khasiatnya yang tinggi banyak membantu saya mengekalkan tahap kesihatan yang seimbang.

Melihat kepada proses melahirkan bayi pada masa kini, pelbagai kaedah diperkenalkan termasuk bersalin di dalam air. Adakah anda merancang untuk menggunakan cara tersebut atau pembedahan?

Saya akan melahirkan bayi ini secara normal. Harap peminat dapat doakan yang terbaik buat saya dan juga bayi ini.

Bolehkah kongsikan jantina bayi anda?

Hal itu rahsia (ketawa). Biarlah kalian semua tunggu sehingga bayi ini selamat dilahirkan.

Apakah perancangan anda sepanjang tempoh berpantang kelak?

Ahli keluarga saya akan membantu dalam soal tersebut terutama ibu kerana ingin membantu menjaga dua anak saya (Putra Adreeshah dan Putra Rayqarishah) termasuk bayi yang bakal lahir ini nanti. Tambahan, saya ada mengupah seorang bidan tradisional sepanjang tempoh berpantang nanti. Doakan segalanya dipermudahkan.

Previous Post Next Post