Pencapaian Di Takuk Lama, Dafi Tidak Hirau Populariti


Dafi gembira pencapaiannya setakat ini dalma industri hiburan.

Penyanyi Dafi tidak pernah berasa risau tentang populariti dirinya biarpun dia lihat masih berada di tahap sama selepas hampir sembilan tahun menjadi artis.

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 27, berkata, apa yang dilakukan dalam industri adalah kerana minat yang mendalam terhadap dunia seni.

"Populariti bukan keutamaan saya dan apa yang saya lakukan dalam dunia hiburan adalah kerana minat yang mendalam termasuklah semua bidang melibatkan industri seni ini.

"Kalau orang kata nama saya masih pada tahap yang sama, saya tidak kisah kerana bagi saya biar berada di tempat yang sama dalam tempoh masa yang panjang daripada popular sekejap dan hilang," ujarnya kepada mStar Online.



Dafi bersama ahli keluarganya.

Dafi ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke 27 di Restoran Qureshi, Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), di sini, malam Selasa lalu.

Dafi berkata, dia tidak pernah meletakkan populariti sebagai satu matlamat yang perlu dicapai.

"Kalau matlamat saya ialah untuk kejar glamor sahaja sudah tentu saya tidak akan berpuas hati apa yang saya capai. Saya ada matlamat lain iaitu secara peribadinya untuk menjadi lebih baik setiap tahun.

"Saya juga bukan hanya meletakkan diri sebagai penyanyi sahaja, malah bidang-bidang lain termasuk bisnes dalam industri seni," ujarnya.


Didie Alias sebagai pengacara majlis tersebut.

Bercakap tentang kejaya nyanyian, Dafi berkata dia tidak pernah berputus asa untuk terus keluar dengan lagu terbaharu biarpun kurang mendapat sambutan.

Katanya, ia merupakan satu kepuasan sebagai seorang penyanyi.

"Walaupun tidak mendapat sambutan tapi saya tetap berpuas hati, saya tidak akan putus asa untuk terus mengeluarkan lagu baru. Saya percaya rezeki saya belum sampai buat masa ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dafi bakal muncul dengan single terbaharu ciptaan komposer Akid, berjudul Sementara.

Dia juga bekerjasama dengan komposer popular Indonesia, Ahmad Dhani dalam mengahsilkan sebuah album yang dijangka bakal siap pada pertengahan tahun depan.


Dafi bersama rakan artis Didie Alias (dari kiri), Umie Aida dan Erma Fatima.

Sementara itu, majlis sambutan ulang tahun ke 27 bertemakan Bollywood itu merupakan sebuah kejutan yang dirancang oleh pihak pengurusan dan keluarganya bagi meraikan hari jadi yang jatuh pada 14 Disember lalu.

Pada majlis itu Dafi turut membuat persembahan nyanyian dan tarian lagu-lagu popular Bollywood.

Turut hadir, bapanya Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Sri Ismail Sabri Yaacob serta seisi keluarga.

Antara artis yang hadir meraikan majlis ialah Erma Fatima, Datin Seri Umie Aida, Nana Mahzan, Ezlynn dan Didie Alias.

Previous Post Next Post