Syafie Naswip buru watak antagonis


DIGODAM Awal bulan Disember lalu akaun Instagram miliknya telah digodam sehingga menyebabkan dia kehilangan kesemua gambar yang telah dimuat naik.

MEMBUKA lipatan sejarah, nama pelakon Syafie Naswip meledak selepas membintangi filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad berjudul Mukhsin. Landskap hidupnya sebagai budak sekolah yang tidak dikenali sesiapa berubah.

Kehadirannya dalam industri mula menjadi buah mulut ramai. Malah, penggiat seni tempatan turut mengiktirafkan bakat lakonan sebagai Pelakon Kanak-kanak Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007.

Terus gigih menyusun rentak sebagai anak seni, nama Syafie semakin utuh, sekali gus berjaya merebut kedudukan selesa, sementelah kerjayanya kini berusia 10 tahun.

Naskhah lakonannya juga bukan sedikit dan calang-calang. Selain Mukhsin yang begitu melambungkan namanya, Syafie juga terkenal menerusi filem seperti Talentime, Songlap dan Juvana. Dia juga telah terbabit dengan ratusan drama yang membuatkan kerjaya seninya dari zaman kanak-kanak meniti usia remaja, dan kini sudah menjadi jejaka yang diminati ramai.

Hari ini juga, tanpa sedar, Syafie sudah berusia 23 tahun.

Meskipun diukur pada tangga usia, tempoh tersebut mampu meletakkan Syafie berada dalam kedudukan pelakon senior. Bagaimanapun dalam nada rendah diri, dia mengakui masih baharu dan perlu banyak memperbaiki diri.

“Saya tidak pernah berasa diri ini sebagai pelakon lama kerana banyak perkara yang masih perlu dipelajari termasuk ragam dan kerenah dalam industri.

“Biarlah orang menggelar saya sebagai pelakon baharu yang perlukan bimbingan kerana itu adalah lebih baik daripada berbangga diri tetapi hasilnya kekal sama,” tutur Syafie memulakan bicara.

Mengorbankan masa remaja membesar sebagai pelakon, Syafie sering diberikan watak stereotaip sehingga adakalanya karakter yang dibawa seakan sama.

“Saya tidak fikir perkara itu memberi impak negatif kerana segalanya bergantung pada kekuatan naskhah dan pengarah dalam menterjemahkan watak di kaca mata penonton.

“Jika watak yang dibawa kelihatan sama, itu mungkin adalah kekuatan atau kelebihan saya dalam berkarya,” katanya optimis.

Tanpa berselindung, pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-25 menerusi filem Songlap itu memberitahu dia memburu watak antagonis.

Kata Syafie, watak sedemikian memberi semangat dan warna tersendiri dalam acuan seninya.

“Kalau boleh saya mahu memainkan karakter berbeza daripada skop pemikiran penonton. Saya mahu watak seperti James Bond jika berpeluang,” katanya.

Dia kemudian melanjutkan bicara tentang keinginan membawa watak antagonis yang disifatkan lebih mudah berbanding memainkan karakter protagonis yang memerlukan banyak emosi dimainkan dalam satu masa.

“Saya berpendapat melakonkan watak baik adalah lebih sukar daripada menjadi jahat kerana terlalu banyak permainan emosi dan paling penting, tahap kesabaran yang jauh berbeza daripada dunia realiti.

“Sebagai manusia, kita pasti mempunyai rasa marah sekiranya ditindas, menerima layanan kejam dan berdepan dengan konflik keluarga serta masyarakat adalah perjalanan emosi yang sangat sukar.

“Sebab itu saya kata sukar membawa watak baik berbanding antagonis,” ulasnya panjang lebar.

Lebih sekadar dari alasan tersebut, Syafie sebenarnya mahu keluar dari balutan zon selesa. Dia mengakui selama 10 tahun menjadi pelakon, banyak watak baik yang diterima berbanding menggalas cabaran karakter antagonis.

Justeru sebagai pelakon, dia mahu diberi peluang, sekali gus membuktikan kredibilitinya yang mampu memainkan watak antagonis sama seperti barisan pelakon sedia ada.

Katanya: “Saya fikir selama 10 tahun ini sudah selesa dengan watak baik, jadi saya mahu keluar kepompong dan terbang memainkan karakter yang tidak akrab dengan sama selama ini. Sebab itu besar harapan saya untuk memainkan karakter antagonis.”


Pelakon kayu

Diajak berbicara mengenai lambakan pelakon baharu yang ada di antaranya dikategorikan sebagai ‘kayu’, Syafie memohon agar jangan pantas melabelkan mereka dengan gelaran tersebut.

Berhati-hati dia menyusun bicara. Diakuinya juga, dia sendiri tidak pernah menerima pendidikan formal dalam teknik lakonan. Malah dia sedar, mutu lakonannya tidak cemerlang dan memerlukan banyak masa untuk memperbaiki bakatnya.

Tidak menerima sebarang pendidikan formal dalam teknik lakonan, Syafie menjelaskan bahawa dirinya hanya menjadikan cermin sebagai guru demi memastikan mutu lakonannya meningkat.

“Memang sedari kecil sikap saya membayangkan watak yang digemari atau menarik untuk dilakonkan di hadapan cermin.

“Menggunakan cermin yang diletakkan di dalam bilik tidur, saya akan menjadikan perkara itu sebagai rutin harian. Namun, kadangkala agak malu juga jika perkara itu dikesan oleh orang lain yang muncul secara tiba-tiba,” ujarnya sambil berseloroh.

Justeru, dia cukup sedar bahawa tidak ada pelakon yang mahu berada di takuk lama dan berusaha mempertingkatkan kualiti masing-masing.

“Besar harapan saya agar penonton seharusnya jangan terlalu cepat melabelkan sesetengah pelakon baharu sebagai membawa mutu lakonan seperti ‘kayu’ kerana setiap orang ada kesilapan.

“Jadi, saya percaya setiap daripada kita memerlukan masa untuk menjadi lebih baik,” luah Syafie agar peminat tidak mudah melatah dan cepat menjatuhkan hukuman kepada pendatang baharu.

Diasak mengenai dirinya yang kurang popular dan menonjol berbanding pendatang baharu yang kini lebih digilai peminat, kata Syafie, dia sendiri yang memilih corak bersederhana dalam kariernya.

Dia percaya, strategi yang digunakan itu juga telah meletakkan kariernya berjalan panjang, sejauh usia 10 tahun yang tidak pernah disangkakanya ini.

Biar kurang popular tetapi setiap kali diberi tanggungjawab memikul sesebuah watak, dia mahu ia memberi impak. Hal sedemikian yang lebih dipentingkannya daripada menjadi sorotan populariti. Ini kerana, Syafie percaya kelangsungan hidup dan kepercayaan pengarah terhadap kredibilitinya adalah kunci bagi dunia seninya subur biar 100 tahun lagi.

Previous Post Next Post