Zahirah dedah sikap Zul Ariffin


Seperti mana kilauan di sebalik makna namanya, Zahirah tidak malap atas cacian mereka yang tidak menyenangi hubungannya bersama pelakon popular Zul Ariffin.

Dalam keluh-kesah yang disimpan jauh dalam benak hatinya, pelakon drama Mencintaimu itu menelan segala ubat yang menjadi ruji si penderita penyakit dengan lagak biasa.

Kemelut isu tersebarnya gambar berpegangan tangan dengan Zul dan kemudiannya timbul pula kisah konon diri Zahirah diculik bagi menutupi tersebarnya gambar berpegangan tangan tersebut. Malah, dia dituduh pula menjadi punca gambar-gambar Ayda Jebat dipadamkan dalam laman Instagram hero drama Rindu Awak 200 Peratus itu, tidak perlu diserap ke otak fikiran anak kepada pelakon lama, Zainol Johari Macwilson itu.

Tidak perlu langsung dihiraukan apatah lagi dijadikan sarang yang berselirat di benak jiwanya.

Asalkan orang-orang yang menyayangi diri Zahirah tahu siapa dirinya. Ia sudah mencukupi buat pelakon berusia 20 tahun itu.

“Orang tidak tahu cerita sebenar. Jadi, mereka bersangka buruk pada saya. Hakikatnya, saya juga manusia biasa yang akan jatuh cinta dan ingin berkawan.

“Pembenci (haters) berada di mana-mana sahaja. Apa jua yang kita buat ada sahaja yang tidak suka. Asalkan famili tahu perkara sebenar itu yang penting. Saya tidak mahu ambil peduli orang yang mahu membenci diri ini,” lentur Zahirah seraya melontarkan senyuman kelat di wajah jelitanya, tanda diri kecewa di salah erti.



NAMA Zahirah Macwilson mula meniti di bibir peminat selepas membintangi drama popular Mencintaimu di samping aktor Sharnaaz Ahmad.

Sedih baca komen pembenci

Dia tidak seperti keanak-anakan yang disangka. Dalam waktu singkat, perjalanan seni yang dilalui membawanya ke fasa dewasa.

Memangku bebannya sendiri tanpa perlu mencanangkan kepada dunia, prinsip itu sedang dipegang pelakon langsing itu dalam meniti arus gelaran seorang selebriti.

“Saya tidak mahu nampak menunjuk atau meraih simpati orang ramai dengan menunjukkan kesan cakar penculik di lengan dalam Instagram sebagai bukti membela diri. Begitu juga kisahnya gambar-gambar Ayda dipadam di Instagram Zul. Itu semua hak Zul bukan atas arahan saya, tapi entahlah, semuanya salah saya.

“Apa sahaja kenyataan saya, mereka (pembenci) akan tukarkan ia menjadi negatif. Jadi, lebih baik sekiranya saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan,” ujarnya sambil menghela nafas panjang.

Ibarat melepaskan apa yang tersimpan di dalam dada, Zahirah menyambung bicaranya.

“Mula-mula, saya sedih juga baca komen-komen pembenci. Sebagai contoh ada yang kata saya sial, sengaja mencederakan diri dan sebagainya. Kalau boleh, saya tidak mahu kontroversi yang terjadi menggugat minat saya untuk terus berlakon. Saya mahu fokus pada bidang ini. Mereka (pembenci) boleh berkata apa sahaja. Sebabnya, segala komen negatif saya akan tolak tepi. Apa yang penting, segelintir orang yang menyokong diri saya. Saya sangat menghargai mereka kerana tidak bersangka buruk,” luahnya yang lega kerana ada yang menyokong termasuk hubungannya dengan Zul.


MENYIFATKAN hubungannya dengan Zul masih baharu, Zahirah tidak mempunyai sebarang sasaran untuk berkahwin.

Zul ‘family guy’

Penyebaran gambar bersama Zul dan berita diculik sudah cukup sebagai pengenalan buat Zahirah mengenal pahit dan jerih bergelar selebriti.

Usah diungkit banyak cerita negatif yang pernah terpalit ke mukanya, Zahirah mahu menelan semuanya tanpa banyak persoalan.

“Bukan nak sorok apa pun. Macam kes tersebar gambar itu. Kalau kami nak sorok takkan keluar bersama.

“Cuma masa itu tidak kena atau belum masanya lagi untuk menceritakan kepada umum. Sebabnya, kami baru nak kenal hati budi. Hubungan kami masih baharu,” ujarnya yang mendedahkan rahsia hati.

Apa yang penting, dirinya menyenangi Zul, seorang lelaki yang disifatnya sebagai family guy.

“Persamaan diri saya dengan Zul menyebabkan kami serasi. Dia sangat rapat dengan famili dia, bahkan dia terlalu sayangkan ibunya. Sama seperti saya,” ujarnya membuka rahsia hatinya.

Tiada sasaran kahwin

Turut disoal mengenai ada sesetengah peminat yang berasakan Zul juga bukan seorang yang jujur, namun Zahirah ada jawapannya.

“Mereka bercakap seolah-olah cukup mengenali Zul. Saya dengar banyak cerita fasal dia. Saya tidak akan percaya apa yang orang cakap mengenai seseorang itu. Kecuali kalau saya sudah bertemu, mengenalinya dan menilai peribadinya sendiri,” katanya mempamerkan sisi dewasa.

Sengaja diselitkan juga keterbukaan Zahirah menghebahkan satu negara bahawa hatinya sudah dimiliki seorang jejaka bernama Zul Ariffin.

“Dengan sesiapa sahaja jika saya berasakan selesa, saya akan berkawan. Saya cuma mengikut arus, namun tidak pula meletakkan sasaran untuk berkahwin,” ungkap pelakon berdarah campuran Melayu dan Australia itu.

Apa yang menjadi keutamaan Zahirah, dia hadir dalam bidang lakonan kerana ingin menebar bakat, selain mahu membantu ibu dan adik-adiknya pulang ke Malaysia.

“Saya sangat sukakan bidang ini (lakonan). Selain itu, saya mahu tolong mama pindah ke sini (Malaysia) atau apa sahaja kemahuannya. Saya juga menyimpan cita-cita menjadi bintang filem dan mempunyai label fesyen sendiri sama ada di Malaysia atau di Australia,” kongsi Zahirah mengenai ibunya iaitu Maslinda Yusof yang sah bercerai dengan bapanya pada 9 November lalu.


PELAKON berdarah campuran Melayu dan Australia ini mahu menepis segala komen negatif pembenci dan mahu fokus dalam bidang lakonan yang dicintainya.

Jadi Cinderella

Selepas popular dalam drama Mencintaimu bersama aktor Sharnaaz Ahmad, kelibat lakonan pelakon berwajah seksi ini dapat ditonton menerusi drama terbaharu iaitu Cik Cinderella dan Encik Tengku.

Drama yang bakal ditayangkan di slot Lestary TV3 itu turut menampilkan Shukri Yahaya sebagai hero.

Sementara watak heroin yang digalas Zahirah pula menuntut dirinya menjadi seperti Cinderella yang sering didera oleh ibu dan kakak tirinya.

“Drama ini tidak sama seperti cerita dongeng Cinderella. Watak saya sebagai Puteri Nuraisha bukan seperti Cinderella yang lemah lembut. Dia seorang yang tegas dan melawan kembali ibu dan kakak tirinya,” ujarnya mengenai drama yang turut dibintangi oleh Shah Iskandar, Datuk Eizlan Yusof, Sherry Al-Hadad dan Puteri Aishah itu.

Previous Post Next Post