Atilia rakam kembali lagu ibu


ANUGERAH - Selama ini, fokus Atilia sewaktu membikin album untuk dipertandingkan dalam penganjuran anugerah besar. Namun, pengalamannya dalam industri telah mematangkannya dan kini dia menumpukan penghasilan album untuk kepuasan pendengar.

SEJAK album perdananya, Sangkar diterbitkan sembilan tahun lalu, lentur alunan irama muzik jaz kerap dikaitkan dengan sosok wanita bertubuh genit ini. Mempertaruhkan muzik moden yang diselang-selikan dengan suntikan nuansa pop dan balada, Atilia dilihat bebas mewarnai karya-karyanya tanpa memikirkan sebarang dinding sempadan.

Atilia atau nama lengkapnya, Raja Putri Atilia Raja Haron boleh dikatakan sangat beruntung. Tatkala industri hiburan pada waktu itu semakin malap dek ceteknya kuasa pembeli dan ledakan kemelut cetak rompak, dia berpeluang menimba ilmu dan menggarap muzik dengan penerbit tersohor, Roslan Aziz.

Ketika itu, Atilia yang masih hijau dalam proses penerbitan muzik setia mendengar setiap tunjuk ajar Roslan dan kemas menyimpan ilmu tersebut buat bekalan sehingga ke hari ini.

“Banyak yang saya pelajari sewaktu mula-mula bekerjasama dengan Roslan. Secara teknikalnya, dia telah membentuk saya menjadi Atilia yang sekarang.

“Walaupun hanya berpeluang bekerja dengan Roslan untuk sebuah album sahaja, namun, sehingga hari ini, dia masih memantau apa yang saya tulis dan terbitkan,” ujar Atilia ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Aku Curiga di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Tambah Atilia, sejak mendapat tunjuk ajar daripada pemuzik yang bertanggungjawab menaikkan nama Ratu Jaz, Datuk Sheila Majid itu, dia lebih berhati-hati dalam menghasilkan album agar setiap karya yang terisi memenuhi piawaiannya sebagai seorang pejuang irama jaz.

“Roslan merupakan seorang penerbit dan komposer yang mementingkan kesempurnaan. Meneliti setiap karya sebelum diterbitkan adalah rutin tetapnya.

“Ketelitian itulah yang cuba diterapkan dalam setiap penerbitan album-album saya,” ujarnya.

Sisi kreatif Roslan yang tumpah pada Atilia boleh disifatkan seperti gulungan ombak yang tidak pernah gagal memukul pesisir pantai. Buktinya, selepas menerbitkan album studio kedua, Indah (2009), anak kepada penyanyi Salamiah Hassan itu terus mengukuhkan empayar irama jaznya menerusi pelancaran single terbaharu, Aku Curiga.

“Aku Curiga merupakan lagu yang sungguh istimewa kerana ia pernah dinyanyikan oleh ibu saya suatu ketika dahulu. Saya memilih untuk merakamkan kembali lagu ini kerana ia bersifat malar segar dan selari dengan konsep jaz yang ingin diketengahkan,” katanya.

Aku Curiga bukan karya pertama milik Salamiah yang dirakamkan kembali oleh Atilia. Terdahulu, menerusi album Indah, penyanyi berusia 42 tahun itu turut memuatkan lagu hit ibunya, Gelombang.

“Ibu pernah memberitahu yang dia begitu gembira apabila mengetahui saya menyanyikan semula lagu-lagunya. Kata ibu, ada sebuah perasaan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata setiap kali mendengar lagu-lagunya dinyanyikan semula.

“Jadi, selain Aku Curiga, saya turut memuatkan sebuah lagi lagu iaitu Cintaku Mengatasi Segalanya dalam album yang akan datang,” jelasnya.

Melanjutkan perbualan mengenai album ketiganya, Atilia berkata, album yang masih belum diberi judul itu bakal dipasarkan sekitar Mei nanti, selepas single keduanya, Segalanya yang menampilkan Lokman Aslam dilancarkan tidak lama lagi.

“Menerbitkan album merupakan keutamaan saya dalam berkarya. Jadi, saya akan cuba sebaik mungkin untuk memasarkan album ketiga secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon teater P. Ramlee The Musical itu bakal menerbitkan sebuah konsert yang menggabung penyanyi-penyanyi wanita tersohor negara seperti Salamiah Hassan, Adibah Noor dan Julie Sudiro bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2016.

Konsert yang diberi nama Konsert Bintang Malam tersebut dijadualkan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Februari ini.


Zuriat

Setiap wanita yang telah berkahwin pasti memasang impian untuk menimang cahaya mata. Kehadiran anak sering diibaratkan sebagai penambah seri yang dapat menjadi ubat mujarab penawar duka.

Bagi Atilia, sejak mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Adam Sofian dua tahun lalu, harapan untuk bergelar seorang ibu tidak pernah pudar. Bahkan, sehingga kini, pengacara rancangan perkahwinan, Darah Manis itu tidak pernah putus asa berusaha untuk mendapatkan zuriat.

“Kami tidak pernah merancang tentang kehamilan. Ada juga beberapa kali ke klinik untuk membuat pemeriksaan, tetapi doktor mengatakan kami dalam keadaan sihat.

“Mungkin belum masanya lagi. Insya-Allah, satu hari nanti pasti rezeki itu tiba,” ujar Atilia sambil tersenyum.

Bercakap mengenai kehidupan berumah tangga, Atilia berkata, Adam merupakan seorang suami yang sangat memahami dan tidak pernah membataskan aktiviti seninya,

Apa sahaja yang ingin dilakukan, pasti mendapat sokongan padu daripada suami.

“Adam merupakan individu yang sangat membantu dalam perkembangan karier, lebih-lebih lagi apabila dia membenarkan saya menggunakan studionya untuk merakamkan lagu.

“Begitupun, dia sangat pemalu dan lebih senang untuk berada di belakang tabir,” ujar Atilia lagi.

Yoga

Mengikuti perkembangan Atilia menerusi laman sosial Instagram, pasti ramai berpeluang melihat evolusi wanita itu dalam mengembangkan minatnya terhadap senaman yoga di studio miliknya, YogaOneThatIWant.

Mula aktif mengamalkan yoga sekitar 10 tahun lalu, Atilia kini bergelar pelatih yoga profesional selepas menerima latihan secara intensif di Koh Samui, Thailand dua tahun lalu.

Mengakui lebih produktif, Atilia berkata, yoga juga membantunya menguruskan karier nyanyian secara tenang dengan cara yang lebih tersusun.

“Saya akui, sejak kebelakangan ini, masa rehat saya di rumah agak singkat. Selain sibuk dengan rakaman album, saya juga perlu mengajar yoga di tujuh cawangan YogaOneThatIwant setiap hari selama seminggu.

“Mungkin disebabkan faktor peningkatan usia dan amalan senaman yoga, saya kurang berasa lesu dan berjaya menghabiskan hari-hari yang sibuk secara aktif,” katanya.

Previous Post Next Post