Bunga Zinnia berwarna oren terang telah berkembang mekar di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), sekali gus menjadikan ia sebagai bunga pertama di angkasa.
"Bunga pertama yang ditanam di ruang angkasa muncul buat pertama kali!," angkasawan Amerika Scott Kelly menulis di Twitter, disertakan dengan gambar bunga itu.
Bunga Zinnia tumbuh dengan mudah di Bumi dan berkembang dengan banyaknya di musim panas.
Tetapi di ISS, di mana ianya telah dibawa untuk menjalankan eksperimen, ia didapati mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan mikrograviti.
Beberapa daripadanya yang dibawa tidak menunjukkan perkembangan yang baik pada Disember apabila terdapat kulapuk pada daunnya kerana kelembapan yang tinggi, kata Nasa.
Tetapi Kelly seolah-olah dapat memupuk kembali perkembangan kesihatan tumbuhan itu.
Mengembangkan bunga itu yang juga boleh dimakan, adalah sebahagian daripada projek jangka panjang Nasa yang dikenali sebagai Veggie.
Ia direka untuk menghasilkan makanan dalam misi manusia ke Marikh. Autonomi seperti itu adalah kunci kepada kelangsungan hidup angkasawan di angkasa, menurut Nasa.
Krew di ISS telah menanam dan makan salad pada tahun lepas di atas kapal yang sedang mengorbit dan berharap dapat menghasilkan tomato pada tahun depan.
Tanaman sayur-sayuran di stesen itu bermula pada pertengahan 2014.
Mereka menanamnya secara 'aeroponically' - tanpa tanah, dalam persekitaran udara atau kabus.
Sistem ini memerlukan baja dan air yang lebih kurang, dan tumbuh-tumbuhan berkembang tiga kali lebih cepat daripada di Bumi, kata Nasa.
Gioia Massa, seorang saintis yang bekerja di projek Veggie, berkata tumbuhan yang ditanam setakat ini tidak sempurna tetapi telah membantu penyelidik di Bumi untuk lebih memahami bagaimana mereka membesar dalam keadaan mikrograviti.