Curi Motosikal, Azian Mazwan Anggap Anak Salah Pilih Kawan


Azian Mazwan Sapuwan

Penyanyi Azian Mazwan Sapuwan tidak tertekan apabila tersebar luas laporan mengenai anak lelakinya ditangkap kerana terlibat dalam kes kecurian motosikal di Putrajaya baru-baru ini.

Azian, 40, berkata, apa yang berlaku adalah kesalahan remaja berusia 16 tahun itu sendiri kerana tersalah langkah dalam memilih kawan.

"Saya tenang dan tidak tertekan apabila berita mengenai perkara itu dilaporkan dalam media dan saya ambil positif perkara itu.

"Ini adalah akibat daripada kesilapannya sendiri dalam memilih kawan dan berharap ia dapat menjadi pengajaran kepadanya," kata Azian kepada mStar Online.

SILA KLIK: Anak Bekas Peserta Gegar Vaganza 2 Ditangkap Curi Motosikal

Terdahulu, remaja berkenaan ditangkap pihak polis bersama seorang lagi rakannya yang berusia 18 tahun dan telah pun dihadapkan ke mahkamah pada akhir Disember lalu.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan ditetapkan pada Februari depan.

Kedua-dua tertuduh dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.



Azian tenang dengan berita penangkapan anaknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azian berkata, dia tidak dapat mengulas lanjut melibatkan anaknya itu kerana kes berkenaan masih berjalan di mahkamah.

"Kes masih berjalan dan belum jatuh hukuman lagi, jadi saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkembangan kes itu," katanya.

Dalam pada itu, Azian berkata, sebelum memasuki program Gegar Vaganza 2, dia pernah berpesan kepada anak-anaknya agar menjaga nama baik keluarga kerana sedar akan menjadi perhatian.

"Bukan sahaja menjaga nama baik saya tetapi juga diri mereka sendiri tetapi perkara sudah hendak jadi begitu, saya positif... tambahan pula dia masih belum didapati bersalah oleh mahkamah," ujarnya.


Azian berduet dengan Siti Nordiana menerusi lagu Hati Kama pada malam terakhir konsert Mega Gegar Vaganza.

Dalam perkembangan lain, Azian berkata, kerjaya nyanyiannya semakin berkembang selepas program Gegar Vaganza 2 berakhir.

Malah waktu hujung minggunya padat dengan undangan nyanyian termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Alhamdulillah undangan nyanyian semakin banyak dan saya anggap ia satu rezeki.

"Selain undangan di luar Kuala Lumpur saya juga banyak mengadakan persembahan untuk jabatan kerajaan memandangkan saya seorang kakitangan awam," katanya.

Bagaimanapun kata Azian, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan jawatannya sebagai pembantu tadbir ketika ini bagi menumpukan perhatian kepada karier nyanyian.

Jelasnya apa paling penting adalah pembahagian masa yang betul dan setakat ini undangan nyanyian tidak menggangu tanggungjawab di pejabat.

"Kalau nak cakap pasal letih, memang penat tetapi bagi saya paling penting adalah pembahagian masa agar tidak ada masalah di tempat kerja," katanya yang merancang untuk menghasilkan single terbaharu.

Previous Post Next Post