Haleeda memberitahu perkahwinan bukan keutamaan buatnya selepas dua kali mengalami kegagalan rumah tangga.
Bekas peserta program Gegar Vaganza musim pertama, Haleeda menjelaskan soal perkahwinan tidak lagi menjadi keutamaannya selepas dua kali gagal dalam perkahwinan sebelum ini.
Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin, 43, berkata, buat masa ini dia selesa dengan kehidupan solo selain memberi fokus kepada anak dan karier nyanyiannya.
"Saya masih lagi solo dan selesa dengan keadaan sekarang kerana bagi saya soal kahwin bukan keutamaan.
"Sekarang pun saya sibuk dengan undangan nyanyian selain banyak menghabiskan masa untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.
Sebelum ini, Haleeda mengakui berkahwin dengan lelaki dikenali sebagai Mr S pada 2010 namun mendedahkan telah bercerai tiga tahun kemudian.
Terdahulu, penyanyi lagu Setia Kasih ini pernah berkahwin dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan iaitu Azman Adnan dan hasil perkahwinan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Amirah Amani Azman, 22 tahun.
Dalam pada itu, Haleeda bagaimanapun berkata, itu tidak bererti dia sudah serik untuk berkahwin sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada jodoh.
"Apabila saya kata kahwin bukan keutamaan tidak bererti saya sudah tutup hati untuk lelaki tetapi itu semua terletak kepada jodoh. Jika ada saya terima," katanya.
Dalam perkembangan lain, Haleeda berkata, karier nyanyiannya semakin berkembang selepas menyertai program Gegar Vaganza musim pertama dua tahun lalu.
Malah katanya, undangan nyanyian semakin banyak dan menganggap ia sebagai rezeki untuknya dan keluarga.