Pelakon drama, Memori Cinta Suraya, Marissa Yasmin sah bercerai talak satu dengan suaminya, Muhzir Mohd Zainuddin di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam.
Talak itu dilafazkan jam 10.40 pagi selepas Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria membenarkan dan meluluskan permohonan tersebut.
Muhzir, 50, dan Marissa, 39, kelihatan tenang selepas penceraian dilafazkan.
Muhzir memfailkan permohonan untuk menceraikan defendan, Marissa pada November 2015 mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor) 2003.
Terdahulu pada prosiding, peguam defendan, Musa Awang berkata, anak guamnya bersetuju untuk bercerai, namun alasan nombor 5 (1) dan (2) dalam Surat Akuan tidak dipersetujui anak guamnya.
Peguam Muhzir, Jamal Mohd Lokman Sulaiman berkata, pada dasarnya tiada persefahaman antara plaintif dan defendan.
"Alasan utama anak guam saya adalah berlakunya kecurangan oleh Marissa terhadap Muhzir dan anak guam saya mempunyai bukti (kecurangan) tersebut," katanya.
Muhzir dan Marissa berkahwin di Songkla, Thailand dan mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Agama Wilayah Persekutuan pada 19 Januari 2011.
Sepanjang enam tahun perkahwinan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Di luar mahkamah, Muhzir menyatakan kesyukuran kerana kes tersebut selesai dengan baik.
"Saya sangat lega dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya.
Marissa atau nama sebenarnya, Mariam Yaacob berkata, dia menerima penceraian itu dengan hati yang terbuka.
“Saya tidak mampu untuk meneruskan perkahwinan ini kerana sudah tidak ada lagi persefahaman antara kami walaupun pada asalnya ia dibina atas dasar kasih sayang ,” katanya.