Kerja keras Jiggy berbaloi



ITULAH penguat semangat buat pemilik nama Mohammad Aizat Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Jiggy untuk terus mencari peluang menempatkan diri dalam industri hiburan tempatan.

Biarpun strateginya menyertai pertandingan Raja Lawak musim ke-6 beberapa tahun lalu tidak menjadi, namun itu bukan alasan buat dirinya patah semangat.

“Pada awalnya, saya memang tidak tahu bagaimana mahu memulakan karier dalam industri ini.

“Sebab itu saya cuba gunakan peluang untuk menyertai Raja Lawak, tapi ketika itu saya masih belum nampak jalan untuk teruskan apa yang saya mahukan.

“Industri terlalu luas dan saya tidak tahu dari mana harus bermula sehinggalah saya diberi peluang untuk berkhidmat sebagai penyampai di sebuah stesen radio online KL Pop Radio,” katanya.

Enggan terus berpuas hati dengan pencapaiannya itu, Jiggy menggunakan ruang yang ada merebut peluang lain.


“Selama lebih kurang setahun berkhidmat, pada masa sama saya banyak mencari peluang kerja tambahan.

“Saya mula mencari pengalaman menjadi hos dalam beberapa program seperti travelog.

“Tidak lama kemudian saya berpeluang menjadi penyampai radio di stesen iM4U fm,” ujarnya.

Pada masa sama, pemuda berusia 27 tahun ini sempat berkongsi pengalamannya bergelar penyampai.

“Bergelar penyampai radio bagi saya satu pengalaman yang hebat kerana sepanjang berkhidmat saya dapat dekatkan diri dengan masyarakat.

“Kita tidak hanya menyajikan hiburan semata-mata, malah kami juga sedia mendengar masalah dan luahan pendengar.

“Perkara ini sedikit sebanyak ia memberi motivasi kepada diri saya sendiri,” jelasnya.

Tercalon sebagai penyampai Meletop

Mengakui masih mentah dalam kerjaya itu, Jiggy bersyukur kerana usahanya berbaloi apabila di calonkan top 20 dalam kategori Penyampai Radio Meletop menerusi Anugerah Meletop Era 2016 (AME 2016).

“Alhamdulillah, saya sangat teruja dengan pencalonan ini.

"Sebagai pendatang baharu, ini permulaan baik dalam pencapaian karier saya.

“Saya tidak mengharap untuk menang, tapi kalau menang, saya anggap sebagai bonus dan rezeki.

“Bagi saya, kalau tercalon dalam top 5 pun sudah cukup buat saya bangga,” katanya teruja.

Previous Post Next Post