SEJAK awal lagi, media sudah dapat menghidu perhubungan terjalin di antara kedua-dua selebriti ini.
Bukan itu sahaja, perancangan perkahwinan mereka juga sudah diketahui media, namun kedua-duanya memilih untuk menyorokkan perkara itu terlebih dahulu.
Bagaimanapun segalanya sudah jelas apabila Shaheizy Sam dalam satu sidang media kelmarin mengakui akan menikahi aktres yang juga model tinggi lampai, Syatilla Melvin, 25, pada 8 Februari ini.
Pemilihan itu juga dibuat sempena tarikh lahir Syatilla ke-25 dan akan diadakan di rumah abang ipar Syatilla di Pulau Pinang.
Pengumuman itu sekali gus menjawab segala desas-desus yang sudah bertebaran sejak sekian lama.
Namun akui Syatilla, hubungannya dengan Sam mula serius sejak dua tahun lalu selepas enam tahun berkenalan.
Bagaimanapun bukan niatnya untuk berdolak-dalik mahupun menipu media kerana apa yang dilakukannya demi menghormati lelaki yang dicintainya itu.
"Saya tak nafikan, menerima bertalu-talu panggilan dari media untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.
"Sumpah demi ALLAH, bukan niat saya untuk menafikannya. Saya minta maaf, saya tiada niat untuk menipu, cuma terpaksa menyorokkan perkara peribadi.
"Membina perhubungan cinta bersama pelakon popular seperti Shaheizy Sam dan demi menghormati hak privasinya yang sememangnya tidak suka untuk bercerita mengenai kisah peribadi, maka saya terpaksa menyorokkan hal ini dari pihak media.
"Lagipun sebelum ini saya sendiri belum pasti sejauh mana hubungan cinta dengan Sam.
"Bagaimanapun kami sudah berjanji akan memaklumkan kepada semua pihak termasuk media apabila semua sudah ditetapkan dan hari ini (Selasa) kami sudah tunaikan janji tersebut.
"Saya rasa lega apabila semua teka-teki mengenai hubungan kami sudah terjawab dan saya dan Sam memohon maaf jika ada yang tersinggung dengan kami," ujarnya kepada media ketika ditemui selepas sidang media di Sunway Putra Hotel.
Bercerita lanjut mengenai perhubungan mereka, Syatilla berkata, dia tidak seperti pasangan bercinta lain kerana tiada istilah keluar bertemu janji sepanjang hubungan mereka terjalin.
Ujar Syatilla, jika ada pun, mereka hanya keluar makan bersama dan kemudiannya pulang.
“Bila keluar bersama tak ada pula 'kantoi'. Tapi kami keluar tak kerap dan kami tak pernah rasa keluar bertemu janji, kalau keluar pun lepak di kedai mamak, makan dan balik,” ujarnya.
Pasangan ini akan mengadakan malam berinai di Pulau Pinang pada 7 Februari, manakala akad nikah akan dijalankan pada keesokan harinya iaitu pada 8 Februari dan majlis resepsi sebelah keluarga Syatilla di Bukit Jawi Golf Club pada 9 Februari depan.
Majlis perkahwinan ini juga disebut sebagai wedding of the year lantaran menerima tajaan bernilai RM25 juta.
Pada majlis sama petang semalam juga Sam telah memperkenalkan aplikasi permainan yang diberi nama Sam’s Ice Cream yang telah dibangunkan khas untuk para peminat.
Sam’s Ice Cream merupakan aplikasi permainan untuk peminat yang pertama dibangunkan artis Malaysia. Ianya merupakan satu permainan mudah, menarik dan membina bersesuaian untuk dimainkan oleh pelbagai peringkat umur.
Syatilla penyabar: Sam
Dalam pada itu, Sam, 34, berkata, sikap Syatilla yang penyabar telah memikat hatinya untuk menyunting wanita berkenaan menjadi permaisuri hatinya.
Sam berkata, sepanjang tempoh mereka berkawan, Syatilla sentiasa berada di sisinya tidak kira masa susah dan senang.
“Syatilla seorang yang berperangai gila-gila dan saya pula seorang 'diva', tetapi dia boleh tahan dengan sikap saya.
"Malah saya tak pernah bertemu dengan seorang wanita sepertinya,” katanya.
Tambah Sam, dia sudah lama mengimpikan untuk mendirikan rumah tangga dan sudah merasakan Syatilla adalah wanita yang bakal menjadi permaisuri hidupnya.
Namun, faktor kerjaya dan masa membuatkan dia terpaksa menangguhkan hasrat menyunting Syatilla terlebih dahulu.
"Sejak awal lagi saya tak pernah mengelak bila ditanya bila akan berkahwin. Cuma saya tak tahu bila dan dengan siapa.
"Bila saya beritahu mummy saya dah bersedia untuk berkahwin, dia terus aturkan segala-galanya termasuk meminta cuti dari produksi dengan alasan membawa saya bercuti.
"Tapi dalam masa yang sama, dia bawa saya untuk merisik Syatilla di rumah keluarganya.
"Malah segala persiapan termasuk tajaan ini juga diuruskan oleh mummy," katanya yang berharap segalanya akan berjalan dengan lancar nanti.