Prioriti hidup Mia Ahmad



LELAKI IDAMAN - Mia menetapkan beberapa kriteria wajib yang harus dimiliki lelaki idaman atau teman hidupnya. Salah-satunya adalah kuat pegangan agama. Bagi Mia,kriteria tersebut melengkapkan ciri-ciri lelaki idamannya.

SANTUN sepanjang melemparkan kata-kata, itulah Mia Ahmad. Bicara pemilik nama sebenar Samiha Ahmad Baderi itu mengasyikkan. Hinggap juga sepatah persepsi bahawa pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri Hati Perempuan merupakan seorang wanita yang sangat berhati-hati dalam menyusun patah perkataan. Barangkali dia masih gusar tentang konklusi daripada setiap persoalan yang ditujukan kepadanya.

Bakal menginjak usia 28 tahun tidak lama lagi, banyak perkara yang perlu diuruskan wanita kelahiran negeri Perak itu secara bijak. Baginya, setiap saat tidak mahu dibazirkan dengan perkara sia-sia yang tidak mendatangkan faedah terhadap kehidupan.

Dalam usia yang semakin bertambah, dia menetapkan pendirian mahu menggapai bintang impian, namun tidak akan sesekali melupakan rumput di bumi.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mahu berbangga dengan kejayaan yang masih tidak seberapa. Perjalanan saya masih lagi jauh dan banyak lagi benda baharu yang perlu diterokai.

“Banyak juga perkara yang perlu diperbaiki terutama skil lakonan. Saya tidak mahu orang mempertikaikan antara populariti dan kualiti lakonan saya yang sering dikatakan tidak seimbang.

“Untuk 2016, saya berazam menjadi lebih baik terutama dalam lakonan yang kini menjadi pintu rezeki utama saya,” ujarnya yang pertama kali diperkenalkan sebagai Yuhanis dalam kaca televisyen.

Dalam kalangan peminat, mungkin ramai sedia maklum bahawa sebelum hingga ke dahan lakonan, Mia merupakan seorang pramugari di sebuah syarikat penerbangan terkenal tanah air. Hal itu menjelaskan alasan mengapa langkahnya ke lembah hiburan hanya bermula sekitar tahun lepas.

“Ya, saya masuk ke bidang lakonan agak lewat. Bagaimanapun, saya tidak merasakan ia suatu penghalang mencapai apa yang dihajati dalam hidup.

“Walau di mana atau apa sahaja yang saya usahakan, saya akan selalu lekatkan di fikiran bahawa ia adalah suatu proses pembelajaran. Saya tidak boleh menjadi sempurna, namun saya akan memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Penting bagi saya untuk laksanakan sesuatu tanpa bersikap tamak atau tergesa-gesa kerana saya tidak mahu menimbulkan sebarang masalah kepada diri saya, apatah lagi kepada orang lain,” ujarnya yang tidak lokek melemparkan senyuman.

Ditebak soalan mengenai fokus pada 2016, Mia memasang niat untuk terus bekerja keras dan memberi komitmen terbaik dalam bidang yang diceburi.

“Saya tahu akan sentiasa ada pendatang baharu dalam bidang lakonan. Untuk memastikan kelibat saya sebagai pelakon terus relevan, saya akan kekal fokus dan bekerja keras.

“Saya sedar masih baharu dalam bidang ini tatkala usia menghampiri fasa 30-an. Apa pun, saya rasa ia tidak menjadi masalah. Usia bukan penghalang,” ulasnya dalam nada optimis.

Selain memperkemaskan kedudukan sebagai pelakon, Mia juga berhasrat untuk mengumpul aset demi jaminan masa depan. Antara dalam rencananya adalah memiliki kediaman sendiri pada tahun ini.


Saham

Sudah menjadi kelaziman apabila nama mula menjadi sebutan dan rebutan ramai, pasti akan ada suara-suara nakal yang mula berbisik mengenai pertimbangan kadar harga di ‘pasaran lakonan’. Mia sendiri tidak terkecuali dihimpit perkara sama.

Namun, dia bernasib baik kerana kerjaya seninya yang kini diuruskan syarikat pengurusan A Klasse berjalan seperti biasa. Dia menegaskan tiada sebab untuk dia meletakkan harga tinggi atau menaikkan kadar bayaran untuk terlibat dalam mana-mana acara.

“Saya masih sedar diri. Saya baru mula nak bertatih dalam industri. Sebelum ini saya sendiri yang atur kerjaya seni dan bergerak secara freelance (bebas).

“Bermula tahun ini, kerjaya saya diurus oleh A Klasse dan setakat ini, jadual kerja lebih teratur. Alhamdulillah,” katanya.

Bagaimanapun akui Mia, sepanjang menguruskan karier sendiri sebelum ini, banyak kali dia berdepan janji palsu pelbagai pihak kerana kurang pengalaman dalam industri.

“Biasalah, apabila kita berstatus baharu dalam sesuatu perkara atau bidang, akan ada pihak yang sentiasa mengambil kesempatan. Misalnya, tidak memberikan apa yang dijanjikan. Ia membuatkan saya lebih berwaspada untuk berdepan hari mendatang,” luahnya.

Memasuki tahun kedua bergiat aktif dalam lakonan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Treacher Methodist, Taiping itu pernah mencuba nasib untuk muncul di layar perak.

“Sejujurnya, saya belum bersedia untuk berlakon filem. Keinginan itu memang ada tetapi saya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘ukur baju di badan sendiri’. Saya tidak mahu dilihat terlalu tergesa-gesa ke arah itu.

“Bagi saya, berlakon filem adalah sesuatu yang berbeza kapasitinya berbanding berlakon drama. Setakat ini memang tiada tawaran berlakon filem yang saya rasakan sesuai untuk dijayakan,” katanya yang pernah membuat kemunculan istimewa dalam sebuah filem berjudul Superbike.

Percubaan baharu

Bercerita lanjut soal lakonan, Mia meluahkan keinginannya untuk melakonkan watak wanita psiko yang mempunyai masalah mental.

“Saya akui, sebenarnya imej bertudung agak membataskan peluang untuk saya menjayakan banyak watak. Watak perempuan psiko menjadi watak idaman saya yang masih belum berpeluang untuk dilakonkan.

“Kalau boleh saya ingin menjayakan watak tersebut sehingga orang takut untuk mendekati saya (ketawa). Jika ia berjaya, bermakna lakonan saya berkesan,” ujarnya lagi.

Dalam masa terdekat Mia sedang mempersiapkan diri untuk terjun ke bidang perniagaan, namun belum bersedia untuk mendedahkan jenis produk yang akan dikeluarkan kelak.

“Ia masih dalam perbincangan dan perancangan. Insya-Allah, tahun ini juga saya mahu ia direalisasikan,” katanya yang berjaya mempopularkan jenama tudung gaya ‘Yuhanis’ dalam kalangan wanita Muslimah tempatan.

Dalam perkembangan lain, Mia bakal muncul dengan telefilem berjudul Kuharamkan Susu Itu untuk tayangan TV9. Dia juga akan bergandingan dengan pelakon kacak dalam drama bertajuk Akadku Yang Terakhir untuk siaran Astro Ria tidak lama lagi.

Diusik pertanyaan mengenai hubungan dengan pelakon kacak, Syarul Ridzwan yang hangat diperkatakan ramai, Mia bagaimanapun menegaskan, tiada sebarang hubungan istimewa antara mereka.

“Banyak kali saya cakap, dia (Syarul) hanyalah kawan baik saya. Saya tidak bercinta dengannya dan kami masing-masing baru ingin membina nama di industri.

“Saya tidak mahu fokus saya terganggu hanya kerana hal tersebut. Insya-Allah kalau dalam perjalanan mencari rezeki saya dipertemukan jodoh sesama artis, saya akan terima kerana saya pun bukan muda lagi (ketawa),” ujarnya menutup bicara.

Previous Post Next Post