Syatilla Melvin bakal berkahwin?



KALAU tak ada angin, masakan pokok bergoyang'. Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai khabar yang bertiup kencang mengenai dua pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Meskipun kedua-duanya menafikan membuat persiapan perkahwinan, namun isu tersebut kembali menjadi perbualan apabila Sam dikatakan sedang giat membuat persiapan sejak akhir Disember lalu.

Namun maklumat terbaharu yang disampaikan seorang sumber kepada Zass mengatakan kedua-dua pelakon ini akan mendirikan rumah tangga sekitar awal Februari ini di Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, ada sumber mengatakan Sam dan Syatilla bakal mengadakan satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur sekitar minggu ini.

Justeru bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai perkara tersebut, Zass menghubungi Syatilla untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.


"Saya tak pasti (isu sidang media). Saya tak ada pula perancangan untuk adakan sidang media.

"Pasal perkahwinan, saya tak nak cakap apa-apa. Biarlah pihak lelaki yang beri kenyataan mengenai perkara ini," ujar aktres yang bakal menginjak ke usia 25 tahun, 8 Februari ini.

Berkongsi perkembangan seninya kini, Syatilla berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Sha & Shah yang kini sedang ditayangkan di Astro Ria.

Menurut anak kelahiran Parit Buntar, Perak ini, biarpun sudah bertudung, dia tetap mendapat tawaran seperti biasa dan tudung juga tidak menghalangnya untuk terus aktif di dalam bidang seni.

"Untuk drama Sha & Shah ini, watak saya memerlukan keserasian dan kemesraan dengan aktor Kamal Adli yang membawakan watak sebagai Shah.

"Jadi ada juga babak bersentuhan, tapi, dengan had. Bukannya secara semberono sahaja. Saya juga tahu jaga batas setiap kali berlakon.

"Malah dengan keterbukaan dan ramai pelakon yang berhijab kini, saya rasa semua pengarah dan pelakon lelaki tahu meletakkan had mereka dalam berlakon bersama pelakon yang bertudung," akhirinya.

Previous Post Next Post