Najwa Latif Kuruskan Badan Selepas Dinasihati Ibu


Imej terbaru Najwa Latif yang kelihatan lebih menarik.

Penyanyi Najwa Latif memberitahu dia mengamalkan diet sejak beberapa bulan lalu bukan kerana ingin kelihatan cantik, sebaliknya untuk menjaga kesihatan.

Najwa, 21, berkata, ia juga atas permintaan ibunya yang bimbang dengan berat badan dia yang semakin meningkat kerana ia akan mudah didatangi pelbagai penyakit.

"Berat saya kini sudah menurun daripada 60 kilogram (kg) kepaada 50 kg.

"Saya buat perkara itu namun atas permintaan ibu yang bimbang saya akan menghidap penyakit jika tidak mengawal berat badan.

"Dia bimbang sangat kerana keluarga kami memang ada yang menghidap penyakit kencing manis," ujarnya kepada mStar Online, pada Jumaat.

Najwa berkata demikian ketika ditanya tentang penampilan berbezanya yang kelihatan lebih menarik di video klip lagu Ni Bu Zhi Dao De Shi yang baharu dimuat naik di laman YouTube.



Najwa Latif

Klip video lagu berbahasa Mandarin itu mendapat reaksi positif peminat-peminatnya yang menganggap penyanyi ini kelihatan semakin matang dan dewasa.

Ia dimuat naik lima hari lalu dan kini mendapat kira-kira 17,000 tontonan.

Bagaimanapun, Najwa berkata, dia tidak terlalu ghairah untuk menurunkan berat badan secara mendadak.

Dia juga hanya mengamalkan diet seimbang, mengawal pemakanan dan sering bersukan.

"Saya tidaklah kurus sangat, mungkin orang dah lama tidak nampak saya muncul di televisyen sahaja berkata demikian.

"Saya berdiet sikit-sikit sahaja dan bukan dilakukan mendadak. Lagi pula saya rasa selesa dengan berat badan kini. Kalau boleh nak turunkan sikit lagi," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang lagu saduran berbahasa Mandarin itu, Najwa berkata, ia adalah salah satu cara dia merakam kenangan ketika menyanyi bersama penyanyi terkenal Taiwan iaitu Wang Lee Hom pada tahun 2013.

Kata Najwa, dia menghafal dan memahami lirik dan makna lagu tersebut terlebih dahulu untuk menjiwai lagu berkenaan.

"Saya belajar bahasa Mandarin dengan kawan saya dan dia ada ketika sesi rakaman bagi memastikan sebutan saya betul dan difahami.

"Sejak video tersebut dimuat naik ramai peminat yang memberi komen positif dan memberi semangat kepada saya untuk terus menyanyi lagu-lagu Mandarin," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Najwa berkata, dia juga bakal keluar dengan single terbaharu berjudul Biar tidak lama lagi.


Previous Post Next Post