Ainan Tasneem mengakui dia tidak sepatutnya mempertikaikan tugas seorang krew penerbangan. Foto Ihsan Instagram @ainantasneem92
Penyanyi Ainan Tasneem mengakui kesilapannya apabila mempertikaikan skop pekerjaan kru penerbangan AirAsia selepas tidak berpuas hati dengan sikap salah seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan baru-baru ini.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 24, menerusi kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad berkata, dia meminta maaf atas kesilapannya itu kerana tidak pernah terdedah dengan skop pekerjaan seorang kru penerbangan sebelum ini.
"Memang silap saya pertikaikan skop pekerjaan kru penerbangan dan saya hanyalah manusia biasa. Saya minta maaf kerana tidak terdedah dengan bidang tugas mereka.
"Saya faham ramai kre penerbangan tidak berpuas hati terhadap saya, saya minta maaf tetapi percayalah saya tidak pernah ada masalah dengan mana-mana pramugari atau pramugara sebelum ini," katanya.
Terdahulu, Ainan bertindak menyelar seorang pramugara didakwa bersikap kasar apabila sepupunya meminta tolong untuk memasukkan beg ke tempat penyimpanan barang kerana tidak dapat mencapai ruang itu ketika mereka menaiki pesawat dari Hatyai, Thailand ke Kuala Lumpur.
Penyanyi itu turut mempertikaikan tugas kru penerbangan tersebut sehingga menerima kritikan hebat daripada pengikut laman sosial.
Menjelaskan situasi sebenar, Ainan berkata, luahannya itu sebenarnya kerana terkilan dengan cara pramugara berkenaan memberi respons apabila sepupunya meminta pertolongan secara baik.
"Apa yang saya cuba ingin sampaikan adalah cara pramugara tersebut respons kepada pelanggan. Jika benar itu bukan tugasnya kenapa tidak boleh bercakap baik-baik dan berikan senyuman, sejuk hati pelanggan dan kami boleh terima.
"Tetapi bila memberi respon sambil buat muka dan bercakap dengan kasar itu yang saya rasa tidak berapa bagus," katanya.
Sementara itu, Ainan berkata, dia ketika itu tidak dapat membantu sepupunya itu kerana tempat duduk berlainan namun apabila melihat tindakan pramugara berkenaan dia cuba untuk menghulurkan bantuan.
"Kalau saya ada di situ memang saya sudah tolong masukkan beg dalam tempat simpanan dan tidak perlu meminta bantuan atau menyusahkan pramugara berkenaan.
"Kebetulan pramugara berkenaan berdekatan dengan sepupu saya dan meminta tolongnya. Apabila mendengar responsnya saya hendak bangun dan membantunya tetapi makcik saya bersuara terlebih dahulu dan baharulah pramugara berkenaan menolongnya," jelas Ainan.
Dalam perkembangan sama, Ainan berkata, dia terpanggil untuk bersuara dan menjelaskan situasi sebenar kerana sering ditanya mengenai perkara berkenaan dan berharap penjelasannya itu dapat menjernihkan keadaan.