Atikah Suhaime
KELIBAT pendatang baharu ini di dalam bidang seni barang kali tidak terlalu asing bagi mereka yang setia bersama filem terbitan MIG mahupun yang pernah menonton drama lakonannya.
Bahkan, nama pelakon kelahiran Singapura ini juga semakin meniti di bibir peminat industri seni.
Namun, dalam pada dia mengatur langkah menuju kejayaan sebagai anak seni, pemilik Nurul Atikah Mohd Suhaime atau lebih dikenali dengan nama Atikah Suhaime ini, tidak terlepas dari dilanda kontroversi.
Bagaimanapun ujar Atikah, dia kini semakin matang dalam mengemudi kerjaya seninya dan berharap namanya akan lebih dikenali kerana bakat lakonan.
"Pada saya, kontroversi adalah publisiti. Malah selebriti Hollywood juga menganggap tidak semua kontroversi adalah perkara yang buruk.
"Bagaimanapun saya lebih berharap pada masa akan datang, orang lebih mengenali saya kerana lakonan dan kerja saya," katanya kepada Zass.
Justeru, ujar gadis yang baru menginjak ke usia 25 tahun 15 Mac lalu, dia bertekad untuk memberikan yang terbaik di dalam kerjaya lakonannya selepas ini.
"Alhamdulillah, hasil sokongan padu pihak pengurusan, MIG Talents, peminat, keluarga dan rakan-rakan, saya masih kuat untuk menempuh segala dugaan dan halangan yang datang.
"Jadi untuk masa depan, tekad saya adalah untuk memberi yang terbaik di dalam kerja saya, agar orang buka mata dan ingat dengan apa yang saya lakukan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Atikah berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbaharunya, Terlarang Sudah Rinduku yang akan disiarkan di TV9.
Selain itu, filem lakonannya bersama produksi Indonesia berjudul My Stupid Boss yang menyaksikan gandingannya dengan pelakon hebat dari Indonesia dan Malaysia seperti Bunga Citra Lestari, Bront Palarae, Chew Kin Wah, akan ditayangkan tidak lama lagi.
Kekasih restui karier
Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya bersama seorang jejaka yang dilihat sering dimuat naik gambarnya menerusi laman Instagram, Atikah berkata, buat masa ini dia mahu memberi fokus kepada kerjaya dan belum bersedia untuk berkahwin.
Katanya, kekasihnya itu juga menyokong kerjayanya dalam bidang seni.
"Kami sama-sama mahu memberi fokus kepada kerjaya terlebih dahulu dan kalau boleh nak stabilkan kerjaya.
"Malah kami juga belum terfikir untuk berkahwin buat masa ini dan dia sentiasa memberi sokongan apa yang saya lakukan sekarang kini," jelasnya.