Amelina ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta D’Herbs dan Pencarian Wajah Terlajak Laris, bertempat di Hotel One World.
KELIBAT Ratu Dangdut ini di dalam industri barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi.
Biarpun pernah menghilangkan diri suatu ketika dahulu, namun kemunculan kembali Amelina pada 2014 tetap mendapat tempat tersendiri di hati peminat.
Aura yang ada pada wanita berusia 41 tahun ini bukan sahaja menarik kembali peminat lama dan baharu, tetapi juga pengasas produk terkenal, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 29, yang melantik Amelina menjadi duta D’Herbs untuk produk pewarna rambut.
Mengakui rasa tersyukur dengan pemilihannya sebagai duta, pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin ini menganggap semua itu sebagai rezeki.
"Ketika mula membuat keputusan untuk kembali aktif di dalam bidang seni, saya sudah berdoa dan menyerahkan perjalanan saya kepada Illahi.
"Saya kira ini adalah rezeki yang telah diaturkan untuk saya.
"Malah, saya juga sudah menjadi pengguna setia produk D' Herbs sejak lima tahun lalu dan ibu saya juga sudah lama menggunakan produk ini," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta D’Herbs dan Pencarian Wajah Terlajak Laris, bertempat di Hotel One World, kelmarin.
Pewarna rambut D’Herbs yang berharga RM29.90, diformulasikan dari bahan semulajadi seperti inai, boleh dibawa solat dan tidak luntur.
Ujar Amelina yang mesra disapa dengan panggilan Alin, dia dilamar Aliff Syukri pada awal Januari lalu dan mengikat kontrak bersama usahawan itu selama setahun setengah.
"Ketika ditawarkan untuk menjadi duta, saya seperti antara percaya dengan tidak. Tapi saya bersyukur dan rasa berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan Datuk terhadap saya untuk mempromosikan produk keluaran syarikatnya.
"Sebenarnya ibu saya yang lebih dulu perkenalkan produk kesihatan jenama ini kepada saya, jadi saya pun cuba dan mengamalkannya. Lama kelamaan saya semakin yakin keberkesanannya.
"Kira-kira lima tahun lalu, ketika membeli salah satu produk jenama ini kebetulan saya berjumpa Datuk Aliff.
"Selepas mengenali Datuk Aliff, sikap beliau yang merendah diri dan beliau juga seperti saya seorang yang 'gila-gila' dan saya rasa mudah untuk kami bekerjasama,” katanya yang akan sibuk dengan jelajah promosi D’Herbs di beberapa lokasi seluruh negara hingga Jun nanti.
Tambah Amelina, apa yang membuatkan dia bersetuju untuk menjadi duta adalah kerana dia sendiri amat mementingkan penjagaan rambut.
"Kalau masih ingat, dulu saya memang biasa tampil dengan rambut pelbagai gaya dan sering mewarnakan rambut saya.
"Kemudian saya menyepi dan kini selepas membuat kemunculan semula, saya kembali fanatik tentang rambut. Meskipun saya sedar usia saya sudah mencecah 40-an dan beranak enam tetapi sebagai artis selain menyanyi, diri kita juga adalah produk. Jadi saya harus menjaga produk iaitu diri saya," katanya.
Rezeki mencurah
Biarpun sudah dua tahun kembali aktif dan hanya muncul dengan satu single iaitu Cinta Harus Seksi, namun ujar Amelina, dia sebenarnya banyak mendapat undangan persembahan.
Selain itu, dia juga bakal muncul dengan video muzik singlenya yang menjalani penggambaran di Indonesia pada Disember tahun lalu.
"Walaupun dalam tempoh dua tahun hanya satu single, tapi Alhamdulillah saya masih mendapat undangan nyanyian.
"Bahkan lagu saya juga masih diputarkan di stesen radio dan Insya-ALLAH video muzik saya juga akan keluar tidak lama lagi. Bila dah lama tidak menjalani penggambaran video muzik, saya tidak nafikan agak berdebar juga.
"Di samping itu, saya anggap peluang saya menjalani penggambaran di Indonesia, bakal memberi ruang kepada saya melebarkan sayap di sana kelak," katanya.
Keluarga tetap utama
Dalam pada itu, ditanya mengenai anak-anaknya, Puteri Nur’ Athirah, 15, Putera Al’ Affiq, 14, Putera Al’ Asyraff, 13, Puteri Nur’ Asyurah, 11, Putera Al’ Arffa, 9, dan Putera Al’ Amzar, 7, Amelina berkata, dia bersyukur kerana ke semua anaknya sangat memahami.
"Mereka sudah biasa berdikari dan sulung juga sudah boleh diharap menjaga adik-adik yang lain. Lagipun saya kembali tinggal bersama ibu. Walaupun saya sibuk, mereka memahami dan jika saya ada di rumah, saya akan beri perhatian penuh kepada mereka.
"Bagi saya apa yang saya kecapi hari ini adalah rezeki anak-anak dan mereka juga tidak pernah merungut dengan kerja saya,'' jelasnya.