Azwan Satar pertaruh Aku Yang Terluka


Azwan Satar

BEKAS penuntut Akademi Fantasia 2014, Azwan Satar, mempertaruhkan single terbarunya dalam usaha menempatkan namanya sebaris nama-nama terkemuka dalam arena seni suara tempatan.

Single bertajuk Aku Yang Terluka ciptaan Hasri Hassan dan lirik oleh Rohaizad Abu Bakar itu dijangka dirakam bulan hadapan.

Menurut Azwan, dia menaruh harapan lagu berentak balada itu dapat menarik perhatian dan minat peminat seni suara tempatan berbanding single pertamanya Harus Akhiri Ceritanya.


"Saya begitu meminati lagu ini selepas mendengarnya dua bulan lalu ketika diperkenalkan kepada pencipta dan pengubah liriknya.

“Malahan, saya sendiri berharap dapat menyanyikan lagu ini sebelum mereka menawarkannya kepada saya. Jadi, bila tawaran itu diberikan kepada saya, tiada alasan untuk saya menolaknya," katanya.

Mengakui lagu tersebut mempunyai kekuatan tersendiri, jelas Azwan, dia yakin Aku Yang Terluka akan diterima pendengar masa kini.

"Tambahan pula lagu berentak balada merupakan genre kegemaran saya,” katanya single berkenaan sepatutnya dijalankan bulan ini terpaksa ditangguhkan kerana masalah kesihatan dialaminya.

Menurut anak kelahiran Parit Sulong, Batu Pahat itu, promosi single berkenaan dijangka dijalankan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, sebelum Ramadan nanti.

Previous Post Next Post