Para peserta Bintang RTM yang layak ke peringkat akhir pertandinga itu pada 2 April depan.
Pertandingan akhir Bintang RTM 2016 (BRTM 2016) yang bakal berlangsung pada 2 April ini akan mengekalkan penjurian secara profesional tanpa melibatkan undian peminat.
Timbalan Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Datuk Adilah Shek Omar berkata, ia bagi menjamin kualiti dan tidak hanya bergantung kepada populariti semata-mata selain ia memang menjadi jenama BRTM sejak dari dahulu lagi.
"BRTM secara asasnya menolak undian peminat atau pun menggunakan media sosial bagi tujuan mengundi para peserta.
"Bukan menidakkan kuasa teknologi dan kehendak peminat tetapi memang inilah jenama BRTM yang mana kesemua peserta diadili oleh juri profesional.
"Telah menjadi objektif dan hasrat RTM dalam memastikan melahirkan bintang berkualiti dan bukannya hanya bersandarkan populariti," katanya.
Adilah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media peringkat akhir BRTM 2016 di Hotel Pullman di sini, Isnin.
Seramai enam peserta terpilih ke peringkat akhir yang bakal diadakan di Auditorium Perdana Angkasapuri pada pukul 9 malam.
Siapakah diantara peserta ini akan menjadi juara BRTM? Nantikannya pada 2 April nanti.
Ia turut disiarkan secara langsung di TV2.
Enam peserta yang terpilih ke peringkat akhir adalah Idris Zulkifli (19), Muhammad Hafiz Ismail (23), Muhammad Adib Ibrahim (24), Nor Fazrina Mohd Gani (23), Nur Shafreeza Zainal Abidin (22) dan Rosario Ninih Chamini Bianis (21).
Tiga juri profesional bakal bertindak mengadili peserta pada malam itu adalah Datuk Mokhzani Ismail (ketua juri), Edrie Hashim dan Ajai.
Dalam pada itu, penerbit BRTM 2016, Haliza Mat Karsa berkata, pada peringkat akhir nanti kesemua peserta akan diadili menerusi dua pusingan iaitu secara solo dan duet.
Katanya, menerusi segmen duet, para peserta akan digandingkan dengan bekas peserta BRTM terdahulu seperti Zahid, Farawaheeda, Asmidar, Amir Sofazr, Ernie Zakri dan Aisha.
"Seleksi lagu untuk dinyanyikan para peserta nanti dibuat oleh produksi dan ia adalah cabaran buat mereka pada peringkat akhir nanti.
"Selain itu ada juga beberap kelainan dan kejutan tetapi buat masa ini biarlah ia menjado rahsia terlebih dahulu dan nantikan peringkat akhir nanti," katanya.
Tambah Haliza lagi, pada malam itu juga bakal menyaksikan kemunculan penyanyi ternama seperti Ramlah Ram, Rohana Jalil, Noraniza Idris, Lan Kristal dan Mus May bagi memeriahkan acara dengan persembahan pada segmen selingan.
BRTM 2016 menampilkan aktres Amyra Rosli dan Muaz Mohamed sebagai pengacara.
Juara BRTM 2016 bakal membawa hadiah wang tunai RM20,000 dan pakej percutian ke Korea dan naib juara pula akan menerima RM15,000 dan pakej percutian ke Bali, Indonesia.
Manakala tempat ketiga akan menerima wang tunai RM10,000 dan pakej percutian ke Jakarta, Indonesia.
Tiga hadiah saguhati turut diberikan iaitu wang tunai RM1,000 setiap seorang dan pakej percutian di Hard Rock Hotel.
Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik pula akan menerima wang tunai RM5,000.
Semua hadiah wang tunai adalah sumbangan RTM manakala pakej percutian tajaan My Centrio Holidays.