Ella Terpaksa Kuruskan Badan Demi Konsert Ella 2016


Ella bakal muncul dalam sebuah konsert pada April depan.

Demi persiapan Konsert Ella 2016, ratu rock negara Ella giat menghabiskan masanya di gimansium semata-mata untuk menguruskan badan.

Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 50, berkata, semua itu dilakukan demi menjaga stamina di pentas selain membentuk penampilan diri agar lebih yakin untuk beraksi setelah hampir 15 tahun tidak menjayakan konsert berskala besar.

“Kalau nak dikira persiapan menjelang berlangsungnya konsert 16 April ini, rasanya banyak yang perlu diambil kira. Namun, saya terpaksa tekankan tentang perkara ini kerana ia melibatkan stamina yang akan menentukan mutu persembahan saya di pentas nanti.

“Tambahan pula, berat badan saya naik mendadak kebelakangan ini sehingga mencecah pertambahan 10 kilogram. Jadi sebelum terlambat, adalah perlu untuk saya lakukan sesuatu. Sekarang saya luangkan masa paling tidak sejam sehari di gim,” katanya kepada ARTISMELETOP.

Ella ditemui di sidang media Konsert Ella 2016 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, di sini, Rabu.

Konsert berlangsung pada 16 April ini di Stadium Malawati Shah Alam.



Ella melakukan gimik flashmob sekali gus mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records.
Menjelaskan perkara itu, kata Ella, dia terpaksa menggandakan usahanya melakukan aktiviti di gim atas faktor masa yang semakin suntuk.

“Jika diikutkan sebelum ini, aktiviti di gim memang sudah menjadi rutin harian saya. Namun demi konsert ini, saya harus melipat-gandakan usaha kerana tinggal hanya lagi sebulan untuk saya pastikan berat badan saya susut seperti apa yang saya impikan,” katanya.

Ella ketika diusik tentang fizikalnya yang agak berisi itu menafikan yang dia kini sedang berbadan dua, sebaliknya faktor rekaan baju yang dikenakan seringkali mengundang andaian sedemikian.

“Jangan salah anggap. Selain dalam usaha menguruskan berat badan, faktor baju juga harus diambil kira. Kalau perasan, saya memang sering mengenakan kemeja yang longgar dan saya selesa dengan penampilan sebegitu. Apa-apa pun, doa-doakanlah perkara yang baik itu.

Terdahulu pada majlis 'Sidang Media Konsert Ella 2016' itu, seramai 100 pemuzik dan penyanyi dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengambil bahagian melakukan gimik flashmob sekali gus mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book Of Records.

'Konsert Ella 2016' berdurasi selama dua jam bakal menyaksikan barisan pemain-pemain muzik handalan antaranya Man Kidal yang bertindak sebagai pengarah muzik selain turut menjemput Lord dari Ella & The Boys, Bunkface, Amy Search dan Korie.

Konsert ini juga mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat korporat terkemuka antaranya AirAsia, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Tourism Selangor, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Era FM dan Sinar FM.

Untuk maklumat lanjut mengenai tiket boleh layari www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian hotline 03-78807999.

Tiket juga boleh didapati di rangkaian Rock Corner, Guitar Store dan Victoria Music.

Previous Post Next Post