Faiz Dickie Bentuk Komuniti Village People


Karya humor menerusi gambar, komik dan video dengan pelbagai watak seperti Kak Leha Bunting, Sarabanon, Naabella, Nurse Puaka dan Cik Yam berjaya menambat hati lebih 600,000 pengikut pemuda ini di Instagram.

Personaliti yang lebih dikenali sebagai Faiz Dickie atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal bukan sahaja mencetuskan fenomena di laman sosial bahkan berjaya membentuk komuniti unik dan tersendiri bergelar ‘Village People’.

Jenaka dan penceritaanya yang bersahaja begitu dekat dengan situasi, senario yang sering dialami masyarakat terutama anak muda.

Jejaka berusia 27 tahun ini juga tidak terkecuali menyampai mesej tersirat berkaitan isu-isu semasa.


Telatah Faiz Dickie yang menarik perhatian ramai dalam dan luar negara ini menjadikannya tersenarai dalam pencalonan awal bagi Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 untuk kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online.

“Perasaan saya bila tercalon dalam kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online merupakan sesuatu yang saya tak sangka.

“Saya berbesar hati sebab tercalon, usaha saya selama ini buat video untuk hiburkan ‘Village People’ dan peminat-peminat di luar sana dihargai,” katanya yang merupakan pemilik instagram @faizdickievp.

Mengenai komuniti ‘Village People’, Faiz Dickie turut sama-sama menjayakan Bazaar Lepak di Shah Alam pada Disember tahun lalu dengan himpunan pelbagai jualan dan aktiviti menarik.

Jejaka yang lebih selesa disapa sebagai Faiz ini juga mempunyai buku #VillagePeople terbitan Dubook Press, yang merupakan kompilasi karyanya dari laman sosial.



Faiz Dickie membarisi nama-nama lain yang berpengaruh di pentas media sosial seperti Ucop, Mat Luthfi, Otam Blur, Amran Fans dan Jadilah Seperti Rashid.

Pembaca mStar Online dan pendengar Suria FM boleh membuat pengundian awal untuk mencari lima pencalonan utama bagi setiap kategori yang dibuka bermula 3 Mac hingga 31 Mac.

Selepas itu proses pengundian lima pencalonan bagi mencari pemenang utama setiap kategori pula dibuka bermula 1 April hingga 27 April depan.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

Previous Post Next Post