Faizal Ismail dilantik duta Alicafe


Faizal Ismail bersama salah satu produk Alicafe.


HAMPIR 15 tahun menjadi penggemar minuman kopi Alicafe, selebriti popular Faizal Ismail akhirnya terpilih bergelar duta kepada minuman kopi Tongkat Ali dan Ginseng keluaran Power Root Marketing Sdn Bhd.

Memandangkan jenama minuman tenaga itu sangat sinonim dengan masyarakat di negara ini, pengacara yang lebih dikenali sebagai FBI ini akui tidak mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran untuk bergelar duta produk tersebut.

“Sebenarnya saya memang penggemar minuman kopi sejak dahulu lagi dan pelbagai jenis kopi dan kopi 3 dalam 1 yang telah saya cuba.

“Sehinggalah teman saya, Halim Othman dilantik menjadi duta salah satu produk keluaran jenama Alicafe, sejak itu juga saya mula bertukar kepada Alicafe.

“Memang minuman jenama ini sangat berlainan dan lebih pekat jika dibandingkan dengan kopi yang lain.

“Tambahan pula produk terbaharu iaitu Tongkat Ali dan Ginseng ini selain rasa yang enak, saya juga merasai khasiatnya yang luar biasa,” katanya ketika ditemui pada sidang media Power Root membongkar rahsia di sebalik Alicafe Tongkat Ali dan Ginseng, Khamis lalu.

Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya, Faizal mengakui kelebihan dan khasiat yang diperoleh daripada kopi pracampur 5 dalam 1 sememangnya luar biasa dan tiada tandingan.

“Dua bahan seperti tongkat ali dan ginseng telah memberikan lebih tenaga kepada saya selain memberi fokus kepada saya dalam sesuatu tugasan yang saya lakukan dari siang sehinggalah malam hari.

“Bagi saya minuman ini bukanlah sekadar kopi biasa malah tidak ada kopi lain setanding dengannya dan saya yakin dengan kualiti bahan-bahan yang digunakan adalah yang terbaik,” ujarnya.


Selain terlibat dengan proses pembikinan iklan di televisyen dan radio, sebagai duta Faizal turut sama terlibat dengan pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh pihak pengeluar minuman tersebut.

“Baru-baru ini saya baharu sahaja selesai dengan proses menyiapkan iklan untuk minuman ini dan saya juga diberitahu terdapat beberapa aktiviti telah diatur untuk mempromosikan minuman ini.

“Dalam masa terdekat juga saya akan turun padang ke beberapa lokasi sebagai jelajah Alicafe yang bertujuan untuk mendekatkan lagi hubungan dengan komuniti sambil memperkenalkan minuman terbaharu ini,” jelasnya.

Fokus pada syarikat produksi

Beralih pada perkembangan kariernya, bekas penyampai radio Hot FM ini memberitahu di samping menerima tawaran mengacara, dia juga sibuk dengan syarikat produksi miliknya iaitu FBI Entertainment Sdn Bhd.

Menurut Faizal, produksinya bakal menerbitkan sebuah program masakan yang menampilkan barisan selebriti tanah air yang akan menemui penonton April ini di siaran Astro Prima.

“Masaklah Kau adalah program masakan yang santai di mana kami mengetengahkan beberapa selebriti yang mungkin orang ramai tidak pernah terfikir mampu untuk masak.

“Selain itu juga satu lagi projek yang akan diterbitkan adalah program realiti yang turut saya melibatkan beberapa pelakon terkenal yang diberi tugasan untuk membuat persembahan nyanyian secara langsung. Program ini juga dijangka ditayangkan pada April ini,” katanya semangat.

Melihatkan perkembangan kariernya kini, Faizal bersyukur dan menganggap keputusan yang diambil untuk menamatkan kerjaya sebagai penyampai radio adalah pilihan yang tepat dan terbaik buat dirinya.

“Alhamdulillah, sekarang saya mampu untuk menguruskan masa saya dengan lebih fleksibel tanpa terikat dengan mana-mana rutin waktu bekerja.

“Apa yang penting, saya juga dapat meluangkan masa yang lebih untuk keluarga saya selain memberi fokus pada syarikat produksi saya selain menerima tawaran pengacaraan.

“Tapi tidak nafi, adakalanya perasaan rindu berada di konti itu memandangkan karier saya bermula daripada bidang itu. Namun saya tidaklah berniat untuk kembali malah saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang,” katanya sambil tersenyum.

Previous Post Next Post