Idris Khan Pindah Ke Rumah Sewa 12 Penghuni


Idris Khan berpindah ke sebuah rumah sewa yang mempunyai 12 orang penghuni untuk menimba pengalaman daripada dunia sebenar bagi meningkatkan prestasi lakonannya. Foto Ihsan Instagram @therealidriskhan

Pelakon Idris Khan sanggup berpindah ke sebuah rumah sewa yang mempunyai 12 orang penghuni kerana menimba pengalaman kehidupan dalam suasana itu bagi meningkatkan prestasi lakonannya.

Idris atau nama sebenarnya Idris Khan Abdul Ghaffar, 27, berkata, sejak beberapa bulan tinggal di rumah berkenaan dia mula mendalami karakter dan personaliti rakan serumahnya selain berjaya menyelami sisi lain dalam diri yang tidak diketahui sebelum ini.

"Sebelum ini saya tinggal seorang diri tetapi mengambil keputusan untuk berpindah masuk ke rumah berkenaan selepas dipelawa oleh Pekin Ibrahim yang turut menetap di situ.

"Selain ingin merasai pengalaman hidup bersama teman serumah saya juga ingin mendalami ilmu lakonan menerusi pemerhatian terhadap karaktor dan personaliti rakan-rakan.

"Ia sebenarnya banyak membantu saya mencipta watak-watak selain mendalami personaliti dan cara percakapan seseorang yang mungkin berguna untuk lakonan pada masa hadapan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada itu, Idris berkata, dia tidak berasa kekok apabila tinggal bersama 12 rakan serumah kerana sebelum ini sudah terbiasa berpindah randah ketika bapanya bertugas sebagai diplomat di luar negara.

"Bapa saya seorang diplomat dan kami sekeluarga sering berpindah randah dari sebuah negara ke negara lain selain sudah merasai hidup dalam pelbagai jenis budaya.

"Saya cepat serasi dengan persekitaran baharu dan buat masa ini saya akan terus tinggal bersama rakan-rakan di rumah berkenaan kerana sudah rapat dengan mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dua pencalonan diterimanya menerusi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016), Idris berkata, dia pada awalnya tidak mengetahui namanya dicalonkan sehingga diberitahu oleh pihak pengurusan kelab peminatnya, The Khan Empire.




Idris bergandingan dengan Zara Zya dalam drama bersiri Duda Terlajak Laris.

Idris tercalon menerusi kategori Aktor Terbaik Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars.

"Sebenarnya saya tidak tahu nama tercalon dan hanya mengetahui apabila kelab peminat memberitahu perkara itu kepada saya dan sudah tentu saya rasa bersyukur dan gembira.

"Biarpun hanya pencalonan awal tetapi ia sudah cukup memberi erti memandangkan saya masih baharu dalam industri seni," katanya.

Tambah Idris, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menjadi calon lima terbaik dan menyerahkan kerja pengundian kepada kelab peminatnya iaitu The Khan Empire.

"Alhamdulillah The Khan Empire yang banyak buat promosi untuk mengundi dan saya bersyukur ada peminat yang begitu bersemangat dan sentiasa memberi sokongan padu kepada karier saya," katanya.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook https://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Duda Terlajak Laris untuk siaran slot Akasia di TV3.

Previous Post Next Post