SYAMSUL YUSOF sebagai Ustaz Adam dalam satu babak filem Munafik.
MELEWATI hari ke-26 tayangan, naskhah Munafik arahan Syamsul Yusof berjaya mencipta fenomena sebagai filem seram alaf baharu paling laris apabila memecahkan rekod perfileman seram Malaysia dengan kutipan sebanyak RM17 juta.
Tambah membanggakan, pencapaian tersebut sekali gus menjadikan Munafik menjadi filem Melayu paling pantas mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM17 juta berbanding Polis Evo dengan 42 hari tayangan dan Ola Bola yang mengutip RM16 juta menerusi 39 hari tayangan di pawagam. Polis Evo mencatat jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM17.47 juta.
Kredibiliti pengarah muda berusia 31 tahun itu sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Rata-rata filem arahannya pasti meraih pecah panggung.
Buktinya, kali terakhir filem seram Melayu yang berjaya mendapat kutipan tertinggi juga merupakan karya arahan Syamsul yang berjudul Khurafat: Perjanjian Syaitan (2011) dengan kutipan RM8.08 juta.
Mewakili pengarah, pemilik Skop Production Sdn. Bhd., Datuk Yusof Haslam menyifatkan pencapaian tersebut sebagai pembasuh luka buat Syamsul yang sebelum ini pernah kecewa apabila filem KL Gangster 2 arahannya disabotaj dan dicetak rompak sebulan sebelum tarikh tayangan pada 2013.
“Buat masa ini, Syamsul masih berada di Mekah. Dia juga tidak menyangka dengan kutipan yang sangat memberangsangkan ini. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan.
“Saya bersyukur, kutipan ini sebenarnya mengembalikan semangat anak saya untuk menghasilkan karya yang lebih baik,” ujar Yusof gembira.
Yusof Haslam atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Md. Haslam Khan, 62, berkata, filem yang ditayangkan sejak 25 Februari tersebut juga sudah memasuki pasaran negara jiran iaitu Brunei dan Singapura.
Malah, sambutan di kedua-dua negara berkenaan juga sangat memberangsangkan apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM2 juta.
“Kebanyakan penonton di Singapura dan Brunei memuji jalan cerita Munafik yang sarat nilai moral dan keagamaan.
“Boleh dikatakan hampir 90 peratus maklum balas yang diberikan penonton sangat positif. Malah, terdapat juga peminat yang menonton sehingga tiga kali tanpa rasa jemu,” katanya.
Sempat ditanya mengenai sasaran kutipan naskhah tersebut, Yusof tidak mahu menaruh sebarang sasaran tertentu, sebaliknya berserah terhadap rezeki.
“Terus terang, saya memang tidak meletakkan sebarang sasaran untuk naskhah berkenaan. Bagaimanapun, bagi saya apabila berjaya meraih sebanyak RM17 juta, jumlah tersebut sudah membuatkan saya sangat bersyukur dan menerima rezeki yang telah diberikan lapan dada” katanya.
Doa termakbul
Sementara itu, Syamsul turut melahirkan rasa syukur kerana doanya dimakbulkan dan impian untuk melihat filem islamik dakwah sebagai filem berjaya di Malaysia tercapai.
“Alhamdulillah, masih hangat di pawagam sekarang. Ada lagi dua minggu di pawagam,” tulisnya melalui satu kemas kini dalam akaun Instagram.
Berjaya menjadi filem seram paling tinggi kutipannya dalam sejarah filem Melayu sepanjang zaman, Munafik yang dibintangi Nabila Huda dan Syamsul masih lagi ditayangkan di pawagam tempatan sehingga kini.