Ning Baizura, Suami Mahu Dalami Agama Sebelum Tunai Ibadah Umrah


Impian penyanyi, Ning Baizura mahu ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah bersama-sama suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, bakal tercapai dua tahun lagi apabila beliau merancang ke sana sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-10 kelak.

Menyambut ulang tahun kelapan perkahwinannya dengan lelaki mualaf terbabit pada 31 Januari lalu, Ning Baizura yang juga ibu kepada Ryan Sky Dalton berkata dirinya amat bersyukur apabila Omar turut bersedia dan terbuka hati untuk sama-sama mengerjakan ibadat berkenaan.


“Dua tahun lagi tempoh yang ada bagi membuat persiapan untuk ke sana juga bererti usia perkahwinan kami genap 10 tahun. Ia cukup membahagiakan saya,” ujarnya kepada Berita Harian baru baru ini.

“Biasalah, dalam rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Bagaimanapun kami berusaha untuk terus mengukuhkan rumah tangga kami. Ia juga proses yang lebih mematangkan kami berdua. Insya-Allah, Tuhan akan membantu mereka yang tidak pernah berputus asa”

“Dialah cinta dunia akhirat saya. Sepanjang bergelar suami isteri, memang tiada gaduh-gaduh besar pun. Suami saya juga pernah berkahwin sebelum ini dan dia jenis lelaki yang ‘cool’. Memang tidak ada masa hendak cemburu buta. Kami sangat menyokong di antara satu sama lain. Kehadiran anak pula memang melengkapkan lagi kebahagiaan kami”

Sebagai persediaan ke Tanah Suci, Ning berkata beliau dan suami sedang mendalami ilmu agama menerusi ustaz yang datang mengajar di rumah.

“Dua tahun ini juga menjadi ruang untuk saya dan suami memperbetulkan kelemahan yang ada, termasuk dalam bab agama,” tambahnya lagi.

Previous Post Next Post