Populariti Hidup Dalam Mati Beri Tekanan Buat Syamel


Penyanyi Syamel mengakui populariti lagunya Hidup Dalam Mati yang menjadi pilihan ramai ketika ini sedikit sebanyak memberi tekanan kerana dia bimbang gagal memiliki karya sebaik itu pada masa depan.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 23, berkata, atas sebab itu dia tidak mahu leka dengan kejayaan itu sebaliknya berazam untuk menghasilkan karya lebih bermutu dan tidak syok sendiri pada masa depan.

“Jujurnya, ini satu khabar gembira dan penghargaan buat diri saya dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya stesen radio yang tidak jemu memainkan lagu saya sehingga ia bersifat 'mesra telinga' buat pendengar.

"Apa-apa pun saya tidak mahu leka dengan situasi ini sebaliknya menjadikan ia cabaran untuk berusaha lebih gigih,” katanya kepada mStar Online.



Naib Juara Akademi Fantasia 2015 ini ditemui pada sidang media pengumuman finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 29 (ABPBH 29) di Balai Berita NSTP, Bangsar, di sini, Rabu.

Dalam pada itu menjelaskan tentang lagu Hidup Dalam Mati yang dikatakan kerap menjadi pilihan peserta pertandingan nyanyian, kata Syamel apa yang diharapkan, peserta berkenaan tidak terikut-ikut cara penyampaiannya supaya mereka mempunyai identiti sendiri.

Bercerita lanjut perjalanan karier seninya, kata Syamel dia kini dalam proses mengumpul material untuk dua buah single terbaharunya.

“Sebenarnya saya kini masih dalam rangka mempromosi single Hidup Dalam Mati, namun pada waktu sama, saya sedang mengumpul material untuk menghasilkan dua buah single baru. Saya masih mengekalkan irama ballad dan insya-Allah akan menemui peminat pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syamel masih berusaha menurunkan berat badan dengan bersukan iaitu bermain futsal serta berjoging.

Katanya, ketika ini berat badannya sudah turun lima kilogram.

Previous Post Next Post